Kutiplah kamu dedak dan serdak, kata Tun Dr Mahathir

BANGI, 23 Jamadilawal 1438H, Isnin – Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengingatkan rakyat Malaysia, terutama bangsa Melayu mengenai budi bahasa, selain tidak menyalahkan takdir jika menghadapi masalah hingga tersungkur di kemudian hari.

Dalam puisinya berjudul ‘Budi dan Bahasa’, bekas Perdana Menteri secara menyindir bertanya kepada bangsa Melayu sama ada mereka sudah berbudaya baharu atau berbangsa lain hingga meninggalkan adat dan hilang rasa malu.

Antara lain dalam tulisan terbaharu di blog beliau hari ini, Tun Dr Mahathir berkata:

“Lanun sudah menjadi raja, Bukan jenayah bila mencuri, Bintang di langit dipasang di dada, Rakyat menyembah duit yang diberi.”

“Kutiplah kamu dedak dan serdak, Itu sahaja yang tertinggal bagi mu, Tertutup mata, mulut dan pekak, Tersumbat hidung, matilah kamu.”

Berikut adalah puisi beliau:

BUDI DAN BAHASA

Budi bahasa budaya kita
Slogan mendesak di mana-mana sahaja
Jangan lupa budaya bangsa
Ulangi di mulut mencukupilah juga.

Kita diingat jangan lupa
Budaya silam warisan kita
Tetapi jika tersalah apa-apa
Rentap kursi balik tidak mengapa.

Budi bahasa budaya Melayu
Sering bertukar mengikut masa
Jika tersilap jangan malu
Budi bahasa perkara lama.

Kesipuan jangan dibiar berlaku
Tiada kursi alasan mencukupi
Kurang santapan diganti muruku
Bangsa tersungkur takdir disalahi.

Budi bahasa slogan negara
Bersopan santun pakaian disedia
Selempang kanan jangan dikirikan
Jangan guna tangan kiri waktu makan.

Budaya bangsa budi dikenang
Itulah adat Melayu lama
Setelah naik tangga ditendang
Kalau nak turun terjun sahaja.

Wahai bangsaku berbudaya barukah kamu
Atau berbangsa lainkah kamu
Hilang adat hilang malu
Duit disembah raja baharu.

Lanun sudah menjadi raja
Bukan jenayah bila mencuri
Bintang di langit dipasang di dada
Rakyat menyembah duit yang diberi.

Batu putih bertuan baru
LKY menjadi Raja
Bila terkenang zaman dahulu
duduk mengalir air mata.

Menangislah kamu wahai Melayu
Negara dijual kerana duit itu raja
Sembahlah kamu raja baharu
Itulah peranan hamba raja.

Tangisan tidak membawa ke mana-mana
Setelah negara dimiliki orang
Junjunglah penjual negara yang kaya
Mungkin sekupang dua tercicir di belakang.

Kutiplah kamu dedak dan serdak
Itu sahaja yang tertinggal bagi mu
Tertutup mata, mulut dan pekak,
Tersumbat hidung, matilah kamu.

Menangis meratap penjunjung jenazah
Kenapakah dedak disumbat hidung
Baunya sedap menolak payah
Akhirnya maut diangkat perusung.

Wahai bangsaku bijak bestari
Tak fahamkah kamu kesannya tenggelam
Tidak bernyawa bermakna mati
Berakhirlah sudah cerita silam.

The post Kutiplah kamu dedak dan serdak, kata Tun Dr Mahathir appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?