Malaysia terbuka kongsi maklumat selepas siasatan menyeluruh selesai
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 1 Jamadilakhir 1438H, Selasa – Malaysia terbuka berkongsi maklumat penyiasatan dengan mana-mana badan perisikan antarabangsa berhubung pembunuhan Kim Jong-nam selepas siasatan menyeluruh terhadap kes berkenaan selesai.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, maklumat itu tidak akan dikongsi selagi tiada permintaan daripada pihak luar dan hanya tertakluk kepada empat aspek sahaja iaitu DNA, forensik, kimia dan bahan bukti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi.
“Empat aspek ini kita boleh kongsikan dengan badan perisikan di peringkat antarabangsa dan boleh diguna pakai oleh badan di bawah PBB setelah pihak PDRM menyelesaikan siasatan.
“…….. dan ia mesti konlusif yang melibatkan bukan hanya polis tetapi juga Kementerian Kesihatan, Jabatan Kimia, Jabatan Penerbangan Awam khususnya Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang mempunyai bukti cctv bagi merakamkan kejadian berkenaan,” katanya dalam sidang media Multaqa Pendidikan dan Sosial, Majlis Perundangan Islam (MPI) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, meskipun Malaysia terbuka untuk berkongsi maklumat itu namun pihak luar harus menghormati sistem dan perundangan negara untuk menyimpan bukti berkenaan.
“Mereka harus menghormati sistem dan perundangan Malaysia untuk menyimpan bukti-bukti berkenaan sehingga pendakwaan dan juga mahkamah memutuskan mengenai prosedur perundangan telah berjalan serta sistem perundangan dimuktamadkan melalui sistem kehakiman yang ada di negara ini.
“Kita akan berkongsi maklumat secara Mutual Legal Agreement (MLA) dengan badan-badan perisikan antarabangsa dan badan perisikan tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Duta Britain di PBB, Matthew Rycroft supaya maklumat mengenai serangan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu yang menyebabkan kematian Jong-nam dihantar kepada Pertubuhan Larangan Senjata Kimi (OPCW) yang berpangkalan di Hague, Belanda.
The post Malaysia terbuka kongsi maklumat selepas siasatan menyeluruh selesai appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan