Peti Aduan Disiplin penting untuk bendung salah laku pelajar
KUALA NERANG, 8 Jamadilawal 1438H, Ahad – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid memaklumkan kewujudan Peti Aduan Disiplin Murid di semua sekolah di negara ini adalah usaha untuk membendung salah laku dan jenayah dalam kalangan pelajar.
Beliau berkata, pihaknya yakin dengan mewujudkan saluran maklumat itu akan dapat membantu pihak sekolah menangani kes salah laku pelajar dan warganya secara proaktif.
Menjelaskan kepentingan peti itu buat masa ini, Mahdzir memberitahu peti aduan itu akan dipantau dan diselia oleh guru disiplin dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dengan maklumat yang diterima disalurkan kepada Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).
“Pelajar tidak perlu takut atau risau menyalurkan maklumat membabitkan salah laku dan kegiatan jenayah dalam kalangan rakan sekolah tidak kira waktu pembelajaran ataupun waktu luar sekolah.
“Aduan yang dibuat pelajar adalah rahsia. Pelajar boleh tulis dan lapor. Kita akan siasat kerana apa yang penting ada maklumat yang boleh dikongsi dalam memperkasakan warga sekolah,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kegiatan jenayah di sekolah katanya, setakat ini ia tidaklah membimbangkan dan masih dalam keadaan terkawal.
“Kita dapati sebarang kegiatan salah laku ataupun jenayah adalah kerana pengaruh rakan sebaya dan semua ini kita pantau dengan kerjasama sekolah dan kementerian,” katanya lagi.
The post Peti Aduan Disiplin penting untuk bendung salah laku pelajar appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan