UIAM persembah ijazah kehormat, anugerah pencapaian sepanjang hayat buat Raja Salman


KUALA LUMPUR, 30 Jamadilawal 1438H, Isnin – Ijazah kehormat dan Anugerah Pencapaian Cemerlang Sepanjang Hayat yang akan disampaikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kepada Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ialah sebagai mengiktiraf jasa baginda kepada dunia Islam.

Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, Raja Arab Saudi itu merupakan seorang ikon dunia Islam yang banyak membantu pelbagai negara dan organisasi.

“Ini dilakukan baginda dalam bentuk bantuan kewangan dan bantuan secara langsung (lain),” katanya pada sidang media mengenai penganjuran Kongres Budaya 2017 di sini hari ini.

Majlis penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Sains Politik (Islam & Wasatiyyah) dan Anugerah Pencapaian Cemerlang Sepanjang Hayat itu dijadual berlangsung pada Selasa malam di UIAM, Gombak.

Rais menarik perhatian bahawa sejarah UIAM sendiri menunjukkan ia  diwujudkan dengan sokongan kuat kerajaan Arab Saudi.

“Jadi sudah lama hubungan (UIAM dan Arab Saudi) ini. Keluarga Al Saud merupakan keluarga diraja yang tidak wajar dilupai budi dan khidmat cemerlang mereka,” katanya.

Raja Salman kini melakukan lawatan negara empat hari ke Malaysia bermula semalam atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Dalam pada itu, Rais berkata, Kongres Budaya 2017 pada 15 April depan akan menghimpunkan budayawan, pakar bahasa dan anak-anak muda bagi membincangkan hala tuju dan mencari resolusi mampan dalam memastikan kelangsungan pembudayaan.

“Rumusan kongres ini akan dibawa ke kabinet dan dipersembah kepada Raja-Raja Melayu bagi membolehkan resolusi yang dicapai dijadikan asas bagi mengukuhkan pembudayaan hidup rakyat di negara ini,” katanya.

Kongres itu dijangka disertai kira-kira 80 badan bukan kerajaan, tambahnya. – Bernama

The post UIAM persembah ijazah kehormat, anugerah pencapaian sepanjang hayat buat Raja Salman appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?