Bukan Islam kena ketepi rasa curiga terhadap undang-undang Islam
BANGI, 28 Jamadilakhir 1438H, Isnin – Bukan Islam mesti mengetepikan rasa curiga tidak berasas dan melihat kepada fakta serta pandangan ilmiah berhubung, pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man tidak menafikan kecurigaan juga timbul daripada tindak-tanduk segelintir umat Islam yang berkuasa hari ini, yang tidak memberi contoh dan keyakinan baik kepada model Islam yang sebenar.
“Kajian sejarah keagungan era pemerintahan Islam di seluruh dunia dan kejayaan membina negara dengam pelbagai bangsa dan agama hidup secara harmoni tidak sepatutnya dilupakan.
“Malaysia yang berbangga dengan usaha menerajui sistem perbankan Islam, hub halal dan lain, kini mampu menerajui perubahan kepada sistem perundangan Islam sebagai model keharmonian dan kejayaan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berterima kasih kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang menyokong Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang turut menyatakan, walaupun sudah melebihi 50 tahun merdeka, tetapi undang-undang di Malaysia masih di bawah tempurung penjajah.
Tuan Ibrahim berkata, sejarah pertembungan Islam dan Barat dan dendam yang tidak padam terhadap Islam menyebabkan Barat sentiasa mengada-adakan ketakutan dunia kepada Islam, sehingga sanggup mewujudkan dan membiayai kumpulan pelampau atas nama Islam.
Katanya, ketakutan dunia kepada Islam yang ditaja oleh Barat menyebabkan tiadanya usaha untuk memberi peluang kepada apa-apa sistem Islam untuk dilaksanakan.
“Segala usaha untuk memperkenalkan sistem Islam sentiasa dicurigai dan dicop sebagai gerakan Islamisasi yang perlu diperangi setiap masa.
“Hari ini, dunia bertambah kacau, peperangan dan pembunuhan bertambah ganas dan kekacauan bukan sahaja berlaku di negara umat Islam, sebaliknya keganasan juga mulai tular di kalangan masyarakat bukan Islam di Barat. Apakah semua petaka ini perlu diletakkan bebanannya ke atas bahu Islam?
“Islam ialah agama yang menjunjung keamanan. Kini sampailah masa para cendekiawan dari pelbagai bidang dan agama untuk duduk bersama membincang, mencari jalan dengan penuh jiwa besar meneliti sistem Islam sama ada dalam ekonomi, politik, perundangan dan lainnya sebagai jalan penyelesaian kepada kemelut yang melanda negara kini,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Fairuz berkata, sudah tiba masanya Malaysia memartabatkan undang-undang Islam, bukan sahaja dalam perundangan negara, tapi juga perundangan antarabangsa.
The post Bukan Islam kena ketepi rasa curiga terhadap undang-undang Islam appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan