Kerajaan belum muktamad keputusan tutup 30 pejabat kedutaan di luar negara
KUALA LUMPUR, 29 Jamadilakhir 1438H, Selasa – Kerajaan setakat ini belum memuktamadkan lagi keputusan untuk menutup 30 pejabat kedutaan Malaysia di luar negara.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, setakat ini Malaysia memiliki 108 pejabat kedutaan di luar negara namun jumlah berkenaan tidak melambangkan hubungan substantif antara negara terbabit.
“Untuk makluman, ada negara seperti Singapura yang hanya ada 80 pejabat kedutaan, manakala Indonesia memiliki lebih sedikit kerana mereka 10 tahun lebih awal merdeka, Thailand ada 102 dan Filipina memiliki lebih sedikit dari kita.
“Kadang-kadang kita lihat ada negara yang tiada keperluan (ada pejabat kedutaan Malaysia) tetapi tidak bermakna kita tidak ada wakil, kadang-kadang ada duta untuk membolehkan hubungan dua negara tetap terpelihara,” katanya dalam penggulungan perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.
Justeru katanya, kajian mengenai penutupan 30 pejabat itu dilakukan secara berkala bagi menilai keperluan mengekalkan pejabat kedutaan Malaysia di luar negara.
“Saya boleh nyatakan ketika ini tiada sebarang keputusan untuk menutup 30 pejabat kedutaan kita di luar negara,” katanya.
The post Kerajaan belum muktamad keputusan tutup 30 pejabat kedutaan di luar negara appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan