Kerajaan perlu cari jalan hapus permintaan rokok

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 1 Rejab 1438H, Rabu – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menyarankan supaya kerajaan mencari jalan untuk menghapuskan permintaan rokok secara menyeluruh dan bersepadu.

Ketua Pemudanya, Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad berkata, ia adalah penting kerana tanpa pembekal, pembeli akan sentiasa mencari jalan lain yang kreatif tanpa meninggalkan tabiat buruk itu.

“Kerajaan juga perlu menunjukkan keseriusan yang tinggi untuk menyelesaikan masalah kronik ini secara holistik. Jika tidak ianya hanya akan dilihat sebagai usaha untuk mengaut lebih keuntungan melalui ‘sin tax’ yang diperolehi.

“Sedangkan para perokok tegar akan terus membeli walau berapa pun harganya, atau mencari jalan pintas membeli rokok seludup atau rokok tiruan yang jauh lebih berbahaya dari segi kesihatan,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.

Beliau bagaimanapun bersetuju dan menyambut baik cadangan kerajaan yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya semalam, untuk menaikkan harga rokok dan had umur pembeli rokok.

Namun, Muhammad Lukman berkata, langkah berkenaan bukanlah jalan menyeluruh yang menyelesaikan sepenuhnya ‘akar’ kepada masalah itu.

“Kerajaan juga harus mengambil langkah tegas dan konsisten untuk membendung aktiviti penyeludupan rokok dari negara jiran, meningkatkan ketelusan pegawai penguatkuasa KPDNKK dan pihak berkuasa (kastam dan polis).

“…….. ia termasuk penguatkuasaan undang-undang dan kempen sedia ada serta membenteras pengiklanan syarikat rokok sepenuhnya.

“Namun, yang paling penting sudah tentulah pendidikan sejak usia awal yang merupakan langkah pencegahan dan benteng paling utuh yang mampu menyelesaikan punca asal tabiat merokok, iaitu kurangnya jatidiri, kejahilan dan pengaruh persekitaran yang rosak,” katanya.

Sebelum ini, Dr Hilmi dalam persidangan Dewan Rakyat semalam, mengumumkan rancangan kerajaan menaikkan harga rokok kepada RM21.50 sekotak daripada harga semasa iaitu RM17.

Malah, beliau turut memaklumkan rancangan menaikkan had usia membeli dan menjual rokok dicadang kepada 21 tahun berbanding 18 tahun ketika ini sebagai langkah mengurangkan jumlah perokok di negara ini.

The post Kerajaan perlu cari jalan hapus permintaan rokok appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?