Kerajaan rancang naikkan harga rokok: Dr Hilmi
KUALA LUMPUR, 29 Jamadilakhir 1438H, Selasa – Langkah menaikkan harga rokok kepada RM21.50 sekotak adalah antara usaha yang dilaksanakan kerajaan untuk mengurangkan jumlah perokok di negara ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya mengakui kempen antirokok yang dijalankan kerajaan setakat ini gagal menghalang rakyat Malaysia dari berhenti merokok.
“Walaupun kita telah mengadakan pelbagai kempen, malangnya ia tidak begitu berjaya.
“Sebagai contoh, kita telah mengisytiharkan kawasan rehat dan rekreasi sebagai kawasan larangan merokok, namun masih terdapat lagi mereka yang melakukannya,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan telah membelanjakan purata sebanyak RM2 juta setahun sejak 2004 dalam melaksanakan kempen antirokok.
“Kita telah berhenti meletakkan papan iklan antirokok sebaliknya menggantikan ia dengan sosial media,” katanya.
Jelas beliau, kerajaan mempunyai rancangan untuk menaikkan harga rokok pada masa akan datang sebagai satu langkah untuk menghalang masyarakat daripada merokok.
“Sekarang rokok dijual dengan harga RM17 sekotak dan sasaran adalah untuk menaikkan kepada RM21.50 sekotak,” katanya.
Malah Dr Hilmi berkata, kerajaan juga rancang untuk membentangkan Rang Undang-Undang Produk Tembakau dan Rokok tahun depan untuk lebih mengawal pengiklanan dan penjualan rokok.
Ia juga termasuk memperkenalkan bungkusan biasa dan meningkatkan had umur yang dibenarkan untuk membeli rokok kepada 21 tahun.
“Untuk membantu perokok menghentikan tabiat itu, terdapat 774 klinik, hospital dan institusi kerajaan yang menawarkan rawatan percuma kepada mereka yang berhasrat untuk berhenti merokok,” katanya.
Dr Hilmi berkata demikian sebagai soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam) di Dewan Rakyat, hari ini.
The post Kerajaan rancang naikkan harga rokok: Dr Hilmi appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan