Menteri tak perlu ugut guru berpolitik: Pemuda PAS Kedah

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 1 Rejab 1438H, Rabu – Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Mohd Azam Abd Samad menyelar kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang memberi amaran kepada guru yang mahu berpolitik sepenuh masa untuk meletakkan jawatan mereka.

Mohd Azam berkata, menteri itu tidak sepatutnya mengeluarkan amaran bernada ugutan dan dilihat emosi, serta mengundang tindakan politik yang ‘dihalalkan’ atas nama pentadbiran.

“Penglibatan kalangan guru di dalam politik terutamanya parti bukan kerajaan tidak harus ‘dimangsakan’ atau dijadikan alasan oleh pihak kerajaan untuk mengambil tindakan sewenangnya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sebaliknya, beliau berkata, kementerian perlu sentiasa membuat penilaian adil dan mengeluarkan garis jelas kepada para guru berhubung kebenaran yang pernah dikeluarkan dari pindaan Peraturan 21 (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Sekiranya tidak, tindakan Mahdzir hanya dilihat langkah terdesak menjelang PRU14 yang bakal menjelang tidak lama lagi dengan cuba menakutkan atau menghukum guru terlibat,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, penyertaan aktif para guru dengan parti-parti politik berdaftar perlu dirai dan dihormati selaras hak perlembagaan dan amalan demokrasi yang subur serta adil, dengan harapan ia juga satu bentuk sumbangan kepada negara.

“Penyertaan mereka perlu disokong dan harus dipastikan agar kedudukan di dalam politik kepartian tidak hingga mengabai tanggungjawab atau tugas asasi dalam perkhidmatan keguruan.

“Juga tidak mengheret persekitaran dan masa pekerjaan menjadi medan atau mewujudkan kancah pertembungan politik. Jauh sekali terjebak dengan politik adu domba, fitnah dan perpecahan.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah yakin bahawa para guru sentiasa mengekalkan profesionalisme dan integriti perkhidmatan, serta sensitiviti etika dan disiplin yang tinggi kerana guru adalah ‘tokoh’ masyarakat yang sentiasa tinggi komitmen memberi khidmat bakti kepada masyarakat,” katanya.

The post Menteri tak perlu ugut guru berpolitik: Pemuda PAS Kedah appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?