Nazri tetap mahu berdebat
KUALA LUMPUR, 22 Jamadilakhir 1438H, Selasa – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz, tetap mahu meneruskan debat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadual Sabtu meskipun berdepan pelbagai halangan.
Nazri turut mempersoalkan tindakan polis kerana menyekat penganjuran debat itu.
Ini kerana, katanya, program berkenaan bukan rusuhan, sebaliknya wacana untuk membincangkan isu semasa.
“Saya bagi jaminan debat ini tidak akan membabitkan pelakuan keganasan, baik daripada pengundi di Padang Rengas mahu pun penyokong Dr Mahathir.
“Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir ada buat program di Kampung Ajil, Terengganu untuk menjelaskan isu semasa, tetapi langsung tidak mendapat tentangan polis.
“Oleh itu, saya tidak faham kenapa permit untuk debat saya dengan Dr Mahathir tidak diluluskan, kononnya gagal menepati syarat dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Saya minta Tun (Dr Mahathir) terus hadir kerana debat ini tetap diadakan… apa nak jadi, jadilah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, sebentar tadi.
Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, permohonan debat ditolak atas empat alasan iaitu lewat mengemukakan borang pemberitahuan seperti dinyatakan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Beliau juga berkata, ianya ditolak setelah mengambil kira faktor keselamatan, ketenteraman awam, perlindungan hak dan kebebasan orang ramai.
Nazri berkata, debat itu membabitkan dua pemimpin yang mempunyai latar belakang perkhidmatan dalam kerajaan, justeru tidak timbul kebimbangan mengenai aspek keselamatan penduduk di Padang Rengas.
“Dr Mahathir adalah bekas Perdana Menteri dan saya adalah menteri dalam kerajaan yang masih terikat dengan tatasusila ketika berdepan dengan orang awam.
“Saya bagi jaminan kepada polis bahawa saya tidak akan meninggikan suara atau bersikap kurang ajar dengan Dr Mahathir, sebaliknya menghormati beliau kerana usianya yang lebih tua.
“Berilah peluang untuk saya berdebat dengan Dr Mahathir kerana kita sudah dapat kebenaran rasmi untuk menggunakan dewan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar,” katanya.
The post Nazri tetap mahu berdebat appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan