PAS akan kaji semula tahaluf siyasi dengan PKR
KUALA LUMPUR, 22 Jamadilakhir 1438H, Selasa – PAS akan memuktamadkan semula kerjasama tahaluf siyasi dengan PKR selepas kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pakatan harapan.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dengan gabungan Bersatu bersama PKR, DAP dan PAN, ia memerlukan mereka untuk mengkaji semula hubungan dengan PKR pada muktamar nanti.
“Hingga kini ada beberapa usul dari Kawasan dan Pemuda Kawasan dan parti akan mengkaji usul itu… kita akan mengkaji sejauh mana rakan tahaluf menghormati parti dan tidak merugikan parti.
“Beberapa tindakan pimpinan PKR dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu dan ucapan mereka di pentas politik yang menyerang PAS dilihat punca adanya usul berkenaan, ” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.
Muktamar PAS Pusat selama tiga hari bermula 29 April depan dijaualkan berlangsung di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Kedah dijangka membangkitkan usul utama daripada beberapa PAS Kawasan dan sayap parti itu yang mahu tahaluf siyasi antara dua parti dikaji semula demi kelangsungan parti siasah itu.
Antara yang mengusulkan perkara itu ialah PAS Kawasan Bayan Baru dan Permatang Pauh selain Pemuda PAS Kawasan Tumpat.
Mesyuarat Majlis Presiden pakatan harapan semalam bersetuju mewujudkan logo baharu dan manifesto bersama bagi melambangkan gabungan empat parti itu dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Keputusan itu dibuat selepas pakatan harapan diterajui PKR, DAP dan PAN bersetuju menerima keanggotaan baharu daripada Bersatu.
The post PAS akan kaji semula tahaluf siyasi dengan PKR appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan