Penerapan fiksyen sains dalam karya sastera bantu pelajar kuasai sains
KUALA LUMPUR, 1 Rejab 1438H, Rabu – Penerapan genre fiksyen sains dalam karya kesusasteraan bukan sahaja menarik minat pelajar untuk membaca, malah menjadi platform baharu bagi pelajar dalam menguasai bidang sains dan teknologi.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penerapan fiksyen sains dalam kesusasteraan juga selari dengan pembangunan pendidikan masa kini.
“Fiksyen sains memberi gambaran jelas mengenai pelan pembangunan pendidikan negara sekarang yang mana semuanya mahukan generasi akan datang berilmu, bijak, menguasai pelbagai bidang dan membina kecemerlangan dalam hidup.
“Dunia hari ini berbeza dengan 30 tahun lalu, fikiran lalu tidak lagi relevan dengan dunia hari ini…dunia hari ini memerlukan kemahiran berfikir aras tinggi yang menggabungkan pemikiran inovasi kreatif dengan teknologi
digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Pelancaran Karya Pemenang Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim ke-4 di sini hari ini.
Mahdzir turut memuji usaha Kumpulan Utusan dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menganjurkan pertandingan sayembara yang menerapkan genre fiksyen sains.
“Banyak kaedah boleh dibuat untuk meningkatkan kualiti pendidikan, dan program inisiatif Utusan dan UTM ini juga memberi gambaran jelas pelan pendidikan sekarang.
“Saya juga berharap karya ini juga boleh diterjemah dalam bahasa dunia yang lain,” katanya.
Sementara itu, pertaruhan kali pertama guru Bahasa Inggeris dari Sekolah Kebangsaan Kampong Jawa, Segamat, Johor, Rosli Mohamad Ali membawa tuah apabila beliau berjaya dinobatkan sebagai juara apabila dua daripada tiga karyanya mendapat tempat pertama dan kedua.
Rosli, 41, memenangi RM15,000 apabila karya berkisarkan hari kiamat berjudul ‘Nakhfatul Faza 3035’ mendapat tempat pertama manakala karya berjudul ‘Katalis Neurogenesis’ di tempat kedua dengan hadiah RM10,000.
“Alhamdulillah…kemenangan ini sememangnya tak disangka-sangka sebab ini kali pertama saya menyertai pertandingan anjuran Utusan dan UTM…kemenangan ini yang besar buat saya.
“Karya pertama saya berkisarkan mengenai kehancuran bumi yang mana saya selitkan elemen agama Islam dalam penceritaan. Idea ini timbul apabila saya banyak membaca buku-buku sains…sebenarnya menulis ini hanya sekadar hobi pada mulanya tapi sekarang saya berjaya menerbitkan enam buah buku,” katanya yang mula aktif berkarya sejak lapan tahun lepas. – Bernama
The post Penerapan fiksyen sains dalam karya sastera bantu pelajar kuasai sains appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan