Pengasas valet doa dipanggil JAIS, JMNS
KUALA LUMPUR, 1 Rejab 1438H, Rabu – Pengasas dan penyedia perkhidmatan valet doa dipanggil oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) supaya menghentikan perniagaan itu.
Perkara itu dimalumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai menjawab pertanyaan Datuk Normala Abdul Samad (Pasir Gudang-BN) berhubung tindakan kerajaan dalam isu Valet Doa.
“Oleh kerana alamat penganjur itu adalah di Selangor, maka JAIS dan JMNS telah memanggil penganjur terlibat untuk memberi nasihat agar mereka menghentikan perkhidmatan itu,” katanya.
Perkhidmatan itu hangat diperkatakan sebelum ini apabila sebuah laman Facebook ‘Valet Doa’ dikelola oleh Nasrin Harin, yang menawarkan khidmat membaca doa di Tanah Suci dengan harga sehingga RM2,500.
Jamil Khir berkata, tawaran perkhidmatan itu akan menimbulkan impak negatif kepada kesucian agama Islam sekaligus mengundang kepada salah faham dan merosakkan akidah.
Bagaimanapun, Jamil memberitahu bahawa Jabatan Mufti di beberapa negeri lain turut terlibat dalam inisiatif memberikan nasihat dan penerangan berkaitan larangan mempromosi perkhidmatan itu.
Katanya, antara yang terlibat adalah JMNS, Jabatan Mufti Sabah, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Pahang.
“Kerajaan juga telah memberikan peringatan kepada umat Islam di negara ini agar sentiasa berwaspada dan tidak terpengaruh dengan individu atau pertubuhan yang menawarkan perkhidmatan valet doa ini,” katanya.
Malah katanya, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) turut menjalankan pemantauan ke atas akaun-akaun di laman Facebook yang menjalankan perkhidmatan berkenaan.
The post Pengasas valet doa dipanggil JAIS, JMNS appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan