‘Sejak dahulu lagi BN tiada aspirasi Islam’
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 2 Rejab 1438H, Khamis – Keputusan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 bukan satu perkara yang mengejutkan kerana parti itu sejak merdeka dahulu lagi memang tidak mempunyai aspirasi Islam.
Anggota Majlis Syura Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berkata, dek kerana hakikat itulah, British memberi kemerdekaan kepada mereka.
“Kemerdekaan yang telah dimiliki sejak 60 tahun lalu tidak dimanfaatkan mereka untuk memperkukuhkan kedudukan orang-orang Islam (lebih 90 peratus Melayu) di tanah air ini terutamanya dari segi politik dan ekonomi.
“Kini, bukan sahaja pegangan ekonomi semakin mengecil, malah kuasa politik juga sudah tergugat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Malah, katanya, segala penambahbaikan sistem Mahkamah Syariah yang kerajaan parti berlogokan dacing itu lakukan hanyalah sekadar kosmetik agar aspek ini kekal “boleh dipasarkan” sebagai kempen politik kepada pengundi Melayu, selama ini.
Tidak kurang dengan itu, Ustaz Hazizi berkata, pemerintah membiarkan sahaja arus pertembungan antara Islam dan liberal berlaku.
“Bahkan antara orang-orang Melayu dan orang-orang bukan Islam di negara ini. Tiada campur tangan kuasa, walaupun dari segi perlembagaan membolehkannya.
“Itulah pendirian politik berdasarkan liberalisme dan sekularisme. Kerajaan neutral, tidak beragama, walaupun Perlembagaan menyatakan sebaliknya.
“Maaf, noktah di atas sebenarnya kurang tepat. Sebaliknya dia memberi jalan kepada kedua-duanya dengan peruntukan masing-masing. Sebelah kanan memberi kepada JKMPKA dan gerakan seumpamanya, manakala sebelah kiri memberi kepada MPI dan gerakan seumpamanya.
“Kemudian dia hanya perlu lihat, dari semasa ke semasa, di antara kedua-dua “kad” itu, yang manakah lebih menguntungkan survival politiknya. Oleh itu kurang tepat jika dikatakan dia mengambil pendekatan neutral kerajaan liberal, tetapi yang tepatnya pendekatan pemain judi, memperjudikan agama dan bangsa sendiri (jika masih layak dikira beragama dan berbangsa),” sindirnya sinis.
Menilai kembali keadaan tenat umat Islam di Malaysia, beliau berkata, masyarakat Islam negara ini sudah lama tiada pelindung kuasa politik kerana kurangnya penghayatan Islam itu sendiri.
“Islam ini asasnya pada pegangan masyarakat Islam itu sendiri. Syariat yang dipertuankan di hati dan kehidupan sebahagian kecil masyarakat Islam negara ini sudah lama tiada pelindung kuasa politik, sejak dijajah lebih 500 tahun yang lampau.
“Sehubungan itu, usaha mentarbiyah umat adalah kerja asasi, untuk pemulihan dan pengislahan jangka panjang. 80 peratus. kerja gerakan Islam sepatutnya di sini. Pemimpin yang akan dipilih adalah bayangan rakyat yang memilih.
“Manakala kempen politik dan perundangan, seperti RUU355, hanyalah alat untuk menyuntik kesedaran dan semangat, serta solidariti umat, dalam mendepani gerakan musuh yang agresif mencairkan identiti muslim dari segenap sudut kehidupan.
“Keimanan, kesedaran, semangat, perpaduan, kesepakatan, solidariti dan kesatuan umat, adalah syarat utama dan tonggak bagi kejayaan umat ini untuk keluar daripada gelap pekat situasi kalah pada hari ini,” katanya.
The post ‘Sejak dahulu lagi BN tiada aspirasi Islam’ appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan