Warisan Melayu akan dipamer di Perancis
KUALA LUMPUR, 1 Rejab 1438H, Rabu – Warisan dan budaya masyarakat Melayu dijangkakan akan dipamerkan di Perancis dalam tempoh dua tahun lagi.
Ketua Perhubungan Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia (IAMM), Heba Nayel Barakat berkata, ianya akan dilaksanakan menerusi pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara dan The Musee Des Arts Asiatiques Guimet (Guimet).
Pameran itu, katanya, akan memperkenalkan kepelbagaian seni dan kraf tempatan yang ada di setiap negeri.
“Sebagai contoh, kami mahu menonjolkan seni songket dan bagaimana ia diperbuat. Mungkin boleh diadakan bengkel (membuat songket) dan sebagainya,” katanya sempena majlis menandatangani MoU berkenaan dan lawatan Presiden Perancis, Francois Hollande ke IAMM di sini, semalam.
MoU tersebut ditandatangani oleh Barakat dan Presiden Institusi Awam Guimet, Dr. Sophie Makariou.
Barakat memaklumkan, MoU terbabit membuka peluang usaha sama bagi kedua-dua negara serta perkongsian pengetahuan dan pembangunan sumber manusia.
“IAMM juga akan menghantar kakitangan untuk mendapatkan latihan di Guimet yang terletak di Paris dan pada masa sama menerima wakil mereka ke negara ini.
“Pertukaran ini adalah bagi membolehkan mereka belajar dan mengetahui lebih mendalam mengenai Asia Tenggara dan dunia Melayu,” katanya.
The post Warisan Melayu akan dipamer di Perancis appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan