7.2 juta rakyat Jakarta mengundi sekali lagi

JAKARTA, 22 Rejab 1438H, Rabu – Lebih 7 juta warga Jakarta yang layak mengundi sekali lagi akan membuat keputusan memilih Gabenor Jakarta bagi tempoh 5 tahun pada pusingan kedua pilihan raya kepala daerah (Pilkada) hari ini.

Jumlah pengundi meningkat lebih 100,000 orang berbanding Februari lepas.

Media memetik Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) Daerah Khusus Ibukota Jakarta, Dahliah Umar, sebagai berkata, penambahan itu adalah disebabkan suruhanjaya itu menggunakan data pendaftaran pemilih terkini.

Mereka akan mengundi di 13,034 buah pusat pengundian di seluruh daerah Jakarta yang dibuka mulai pukul 7 pagi sehingga 1 tengah hari.

Pilihan raya itu terpaksa diadakan secara 2 pusingan ekoran tiada calon yang melepasi undi majoriti melebihi 50% pada pusingan pertama.

Pusingan kedua ini menyaksikan gandingan penyandang jawatan Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok dan Djarot Saiful Hidayat dicabar oleh bekas menteri pendidikan dan kebudayaan, Anies Baswedan dan pasangannya seorang ahli perniagaan, Sandiaga Salahuddin Uno.

Pada 15 Februari lepas, Ahok dan Djarot mendahului pungutan undi dengan mendapat 44.17% manakala pasangan Anies dan Sandiaga mendapat 39.55%.

Pasangan Agus Harimurti Yudhoyono iaitu anak sulung bekas presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono terkeluar daripada pertandingan pusingan kedua apabila mendapat 16.27%.

Sistem pilihan raya itu mewajibkan seseorang calon melepasi 50% daripada jumlah undi keseluruhan untuk dilantik sebagai gabenor Jakarta merangkap ketua eksekutif daerah.

Kerajaan mengumumkan hari ini sebagai hari cuti khas di Jakarta dan pihak berkuasa juga membuat kawalan ketat di seluruh pintu masuk ke Jakarta.

Orang awam dari luar Jakarta dilarang memasuki ibu negara itu jika tidak mempunyai urusan rasmi bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

The post 7.2 juta rakyat Jakarta mengundi sekali lagi appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian