Ahli kumpulan WhatsApp boleh disiasat

CYBERJAYA, 3 Syaaban 1438H, Ahad – Siasatan akan dijalankan sekiranya terdapat aduan terhadap kandungan yang disebarkan dalam mana-mana kumpulan aplikasi pesanan seperti WhatsApp, WeChat, Viber dan Telegram, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

SKMM dalam kenyataan berkata, perbualan dalam mana-mana kumpulan adalah bersifat persendirian, namun adalah menjadi kesalahan bagi seseorang untuk menggunakan perkhidmatan aplikasi itu bagi membuat dan memulakan penghantaran apa-apa komen, permintaan dan cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Suruhanjaya itu berkata, siasatan tidak akan membezakan antara pentadbir dan ahli kumpulan. Justeru, pentadbir aplikasi atau anggota kumpulan diingatkan supaya berwaspada dalam menyebarkan maklumat dalam kumpulan masing-masing supaya tidak terjadi kes penyebaran maklumat palsu.

“Jika pentadbir atau mana-mana anggota kumpulan didapati menyebarkan maklumat palsu, maka tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka,” kata kenyataan itu, semalam.

Penyebaran maklumat palsu adalah kesalahan di bawah undang-undang Malaysia termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, katanya.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari sebelum ini dilaporkan berkata pentadbir kumpulan WhatsApp akan berdepan tindakan undang-undang sekiranya gagal mengawal anggotanya daripada menyebarkan maklumat palsu.

Menurut SKMM, berdasarkan fakta, bukti dan perlakuan, seorang pentadbir aplikasi mungkin dipertanggungjawabkan dalam beberapa keadaan.

Antaranya apabila pentadbir sendiri membuat komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain, yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 233 AKM 1998, katanya.

Pentadbir juga mungkin dipertanggungjawabkan apabila meminta komen daripada yang lain walaupun tidak melakukannya, dan pentadbir membantu, melalui hasutan, mana-mana orang lain dalam kumpulan untuk membuat komen serta pentadbir menghalang siasatan agensi penguatkuasa terhadap komen.

SKMM berkata ia akan mempertimbangkan keperluan mengadakan garis panduan penggunaan aplikasi pesanan.

“Pada masa yang sama, orang ramai digesa untuk sentiasa berhemah dalam penggunaan media sosial demi perlindungan mereka sendiri,” katanya. – Bernama

The post Ahli kumpulan WhatsApp boleh disiasat appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?