ATM sedia bantu bawa balik rakyat Malaysia di Mesir
KUALA LUMPUR, 13 Rejab 1438H, Isnin – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia membantu untuk membawa balik rakyat negara di Mesir susulan pengisytiharan darurat ekoran insiden pengeboman dua buah gereja, semalam.
Bagaimanapun, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tindakan itu hanya boleh dilaksanakan selepas ia diputus di peringkat Kabinet.
“Langkah ini perlu diambil susulan kerajaan Mesir menigisytiharkan darurat di Kaherah berikutan insiden pengeboman dua buah gereja di bandar Tanta dan Iskandariah di Delta Nil, semalam.
“Serangan sebegitu cukup membimbangkan walaupun ia bukan perkara baharu kerana Daesh bukan seperti kumpulan militan lain seperti al-Qaeda atau al-Maunah yang mempunyai acuan tertentu. Daesh boleh berlaku di mana sahaja dan Malaysia tidak terkecuali,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya kini memantau dan bekerjasama rapat dengan kementerian lain seperti Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam usaha memastikan keselamatan rakyat negara di Mesir.
Sebelum ini, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi mengisytiharkan darurat tiga bulan di negara itu berikutan insiden pengeboman di dua buah gereja Coptic di utara Mesir, semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 44 orang terbunuh.
The post ATM sedia bantu bawa balik rakyat Malaysia di Mesir appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan