Bermuktamar di Kota Sarang Semut, maka contohilah cara semut hidup
RASANYA belum terlewat untuk Pedang mengucapkan selamat bermuktamar kepada semua perwakilan parti PAS – Muslimat, Pemuda dan Ulama. Ini adalah kali ke 63, bersilih ganti ahli PAS tak kira tua atau muda menghadiri muktamar yang dulunya Mesyuarat Agung Tahunan.
Muktamar itu bermula semalam dan akan berakhir 1 Mei ini. Selama lima hari, perwakilan bermukim di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut dan di sekolah agama Darul Ulum di Tandop, Alor Setar.
Pastinya banyak yang dibincang, dirangka, diamanahkan, diminta, diundi dan dibahas, sebelum keputusan penting berdepan ‘Perang Ahzab’ dibuat, walaupun gendang perang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) belum berbunyi.
Pedang turut berada di Kota Sarang Semut dan Tandop. Kawasan itu tidak asing lagi bagi Pedang. Lagipun, rumah Allahyarham bapa mentua Pedang pun tak jauh dari Kota Sarang Semut, cuma di daerah Yan di kampung yang menjadi antara kubu kuat PAS. Malah, rumah Allahyarham juga pernah dijadikan tempat Presiden PAS keempat, Allahyarham Tan Sri Mohd Asri Haji Muda, berceramah dan berkempen.
Pedang melihat dan mendengar pelbagai ucapan oleh pemimpin atau perwakilan, yang muda atau tua, lelaki dan wanita.
Ada yang berapi-api dan ada yang sederhana, disusuli gema takbir di dalam dewan. Kecuali muktamar Pemuda yang agak panas – bukan kerana keris dikeluarkan daripada sarungnya dan dijulang – tetapi kerana alat pendingin udara rosak, muktamar wanita dan ulama berjalan lancar.
Dari satu segi Pedang lihat wanita, pemuda dan ulama penuh semangat memberi ucapan, cadangan dan luahan hasrat yang dikehendaki akar umbi, dilantunkan ke muka pemimpin di barisan hadapan. Dihiasi ayat suci al-Quran, termasuk oleh Dewan Himpunan Penyokong PAS, yang turut memetik ayat-ayat Allah.
Cuma harapan Pedang, sebagaimana tempat bermuktamar iaitu Kota Sarang Semut, perwakilan yang memimpin jutaan penyokong PAS di seluruh negara, mencontohi semut membuat sarang dan dijadikan sebuah kota.
Semut adalah serangga yang biasa, tetapi mereka mempunyai beberapa keupayaan unik. Lebih daripada 10,000 spesies semut yang diketahui ada di seluruh dunia. Dan, yang pentingnya ialah Allah SWT menceritakan kepada kita kisah semut dan Nabi Sulaiman yang difirmankan-Nya menerusi surah An-Naml.
“Dan untuk Sulaiman dikumpulkan bala tenteranya terdiri dari jin, manusia dan burung lalu mereka berbaris dengan tertib. Hingga ketika mereka sampai ke lembah semut, berkatalah seekor semut: “Wahai semut-semut! Masuklah ke dalam sarang-sarangmu agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan bala tenteranya sedangkan mereka tidak menyedari.” Maka dia (Sulaiman) tersenyum lalu tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa: “Ya Tuhanku! Anugerahkanlah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan agar mengerjakan kebajikan yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.”
Pedang kumpul sedikit sebanyak mengenai semut yang boleh dijadikan contoh dalam hidup kita seharian. Dalam, hal ini PAS boleh menjadikan semut sebagai contoh perjuangan menjaga masyarakat dan negara.
Semut ada di mana-mana. Hutan, sawah, padang pasir, dalam rumah, kampung, malah di bandar-bandar besar. Apakah rahsia di sebalik kejayaan mereka? Seperti juga manusia, semut bersosial, bekerja bersama-sama dalam sesuatu kawasan atau jajahan. Sebahagian besar koloni semut dikatakan kuat bersatu ke satu arah tujuan yang sama.
Bentuk badan semut walaupun kecil, tetapi, tingkah laku sosial memberikan semut kelebihan besar ke atas serangga bersendirian dan haiwan lain. Cuba kita perhatikan beberapa perkara mengenai semut yang boleh menjadi contoh.
Semut sentiasa meletakkan kepentingan keluarga atau koloni mereka terlebih dahulu. Setiap koloni biasanya mempunyai ibu (ratu), anak- anak perempuan dewasa (pekerja), dan induk (telur atau larva). Kawasan jajahan semut yang kecil juga mempunyai ratu, tetapi jumlah pekerjanya sedikit. Namun, jika jajahannya besar, jumlah semut pekerja boleh mencecah jutaan.
Semut membina rumah mereka di pelbagai tempat. Banyak spesies menggali sarang bawah tanah atau mendirikan kubu tanah, manakala yang lain ada yang hidup dalam sampah daun atau kayu reput di lantai hutan. Sesetengah semut lebih suka berlindung di bawah batu, yang juga boleh memberikan kehangatan. Ada juga semut yang bersarang hanya di pokok.
Yang harus diberi perhatian ialah cara semut bekerja. Sebuah koloni semut adalah seperti sebuah kilang. Proses ini menjadi lebih berkesan melalui pembahagian buruh, di mana semut yang berbeza mengkhususkan kepada pekerjaan yang berbeza. Ratu mempunyai peranan yang sangat khusus dalam kehidupannya iaitu bertelur.
Semut pekerja pula melaksanakan tugas-tugas lain, tetapi bergantung kepada jangka hayat hidup mereka. Semut muda bekerja di dalam sarang, menjaga ratu dan induk, manakala pekerja yang lebih tua keluar mengumpul makanan dan mempertahankan sarang daripasa serangan musuh.
Walaupun saiznya lebih besar dan diberi gelaran ratu, ia bukannya majikan, sebaliknya semut pekerja membuat keputusan untuk melaksanakan tugas berdasarkan pilihan peribadi, interaksi dan isyarat alam sekitar.
Koloni semut berinteraksi antara satu sama lain bagi mengkordinasikan kegiatan mereka, tetapi mereka tidak perlu bersuara. Sebaliknya, semut berkomunikasi, terutama menggunakan bahan kimia yang mereka cium dengan sesungut atau antena mereka. Pekerja melepaskan bahan kimia tertentu yang akan memberi isyarat seperti ‘ikut aku untuk mkanan’ atau perintah melakukan serangan.
Semut mempunyai otak yang kecil. Tetapi, jika digabungkan, mereka menjadi amat pintar dan superorganism semut boleh menyelesaikan masalah yang sukar dengan memproses maklumat dalam satu kumpulan. Contohnya, dalam pemilihan tanah jajahan yang dibuat secara kolektif. Demikianlah resam dunia, yang bersendirian tidak mempunyai banyak pilihan dan mudah dikalahkan atau mudah membuat kesilapan.
Seekor semut tidak mampu memberi kemudaratan kepada haiwan lain yang lebih besar. Tetapi satu koloni semut adalah satu kuasa utama yang disegani. Memburu dalam kumpulan membolehkan semut mengalahkan mangsa yang lebih besar dan kuat. Dengan bekerjasama, semut juga boleh mempertahankan kawasan mereka.
Akhir sekali, semut sangat setia kepada kawanan atau koloni mereka dan jika keluar berperang, mereka akan berperang mati-matian, manakala kekuatan mereka ialah mereka boleh mengangkat benda yang beratnya lebih 20 kali ganda daripada berat tubuh mereka.
Kata Pedang: Wahai penyokong, ahli dan pemimpin PAS! Tafsir dan kajilah rahsia hidup semut supaya perjuangan memartabatkan Islam di bumi tanah Melayu ini membuahkan hasil.
p/s: Penampilan diri perwakilan dan pemimpin PAS, khususnya di kalangan ulama mereka mesti juga diberi perhatian. Berjubah kemas, berkasut atau bercapal kelihatan menarik keyakinan orang yang melihat. Bukan berjubah dan memakai selipar. Bagaimana hendak meyakini orang lain jika diri sendiri selekeh.
Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu.
The post Bermuktamar di Kota Sarang Semut, maka contohilah cara semut hidup appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan