Darurat di Mesir: Kedutaan Malaysia aktif bilik gerakan
PUTRAJAYA, 15 Rejab 1438H, Rabu – Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Mesir telah mengaktifkan bilik gerakan bagi memantau situasi dan perkembangan semasa susulan insiden pengeboman dua gereja di negara itu, baru-baru ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, semua agensi di bawah Kedutaan juga turut diarah memantau situasi serta melaporkan perkembangan dari semasa ke semasa di kawasan penempatan pelajar Malaysia di Kaherah, Iskandariah, Tanta, Zagazig, Mansoura, Fayoum dan Assiut.
Katanya, sehingga 10 April lalu, jumlah pelajar Malaysia di Mesir adalah seramai 1,251 orang membabitkan 454 orang di Tanta, manakala 797 lagi di Iskandariah.
“Kementerian Pendidikan Tinggi mengesahkan bahawa sebagai langkah berjaga-jaga berikutan peristiwa pengeboman yang berlaku di Tanta dan Iskandariah, Mesir pada 9 April 2017, pihak Education Malaysia Egypt (EME) telah mengedarkan Garis Panduan Keselamatan kepada semua pelajar Malaysia di Mesir pada 10 April 2017.
“Pelajar diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati serta tidak mendekati kawasan berisiko tinggi yang terdedah kepada bahaya keganasan seperti gereja dan balai polis.
“Sekiranya menghadapi masalah, para pelajar diminta segera menghubungi pihak Kedutaan Malaysia di Mesir melalui nombor +201200276388,” kata kementerian itu, hari ini.
The post Darurat di Mesir: Kedutaan Malaysia aktif bilik gerakan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan