Dewan Negara lulus 13 RUU

KUALA LUMPUR, 1 Syaaban 1438H, Jumaat – Sebanyak 13 Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan sepanjang 10 hari persidangan Dewan Negara bagi mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen ke-13 yang ditangguhkan malam tadi.

Antaranya menjadi perhatian adalah RUU Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sri Azalina Othman Said, dengan menarik paling ramai penyertaan anggota Dewan Negara berbahas, iaitu seramai 16 orang.

Ketika menggulung perbahasan itu, Azalina berkata RUU tersebut adalah akta pertama dan menjadi sejarah dalam sistem perundangan negara ini yang mewujudkan definisi pornografi terhadap kanak-kanak.

RUU berkenaan juga mengiktiraf kanak-kanak sebagai saksi kompeten dan akan mengambil kira keterangan kanak-kanak terlibat di mahkamah dengan mengambil kira situasi kanak-kanak tersebut, selain menekankan kesalahan yang melibatkan komunikasi seksual individu dengan seseorang kanak-kanak.

Dalam pada itu, tempoh penahanan maksimum 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) akan terus dikuatkuasakan bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai 2017 selepas usul semakan pelaksanaan subseksyen 4(5) di bawah Akta berkenaan dikemukakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Dalam pada itu, RUU Perbekalan Tambahan (2016) 2017 bagi memohon perbelanjaan tambahan sebanyak RM3.08 bilion untuk perkhidmatan 2016 yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz dan diluluskan tanpa dibahas dan tanpa pindaan.

RUU lain diluluskan pada persidangan kali ini ialah RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2017 (Akta 445), RUU Mahkamah (Kaedah Kaedah Permulaan Tindakan Sivil) 2016 dan RUU Saraan Hakim (Pindaan) 2017, RUU Timbang dan Sukat (Pindaan) 2017 dan RUU Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2017.

Setelah diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat 29 Mac lalu, RUU (Pindaan) Kebankrapan 2016 yang antara lain memberi perlindungan kebankrapan terhadap penjamin sosial turut dilulus Dewan Negara.

Pada hari terakhir persidangan semalam, sebanyak lima lagi RUU diluluskan, termasuk RUU Perdagangan Strategik (Pindaan) 2017 yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan, yang antara lain bertujuan untuk meminda Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708).

Ia bertujuan untuk menyemak peruntukan berhubung dengan perdagangan barang strategik agar setara dengan amalan antarabangsa.

Pindaan juga untuk memudahkan perdagangan dengan menyemak kuantum hukuman bagi kesalahan di bawah Akta 708 dan untuk mengukuhkan penguatkuasaan. Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Datuk Mary Yap Kain Ching pula membentang RUU Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2017 bertujuan membantu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membendung penggunaan gelaran akademik palsu dan tidak diiktiraf.

Menurutnya, Seksyen 33A (Akta 555) mengandungi kewajipan pihak Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menyimpan daftar diperkenalkan oleh KPT bagi mengukuhkan kawal seliaan terhadap sijil dan gelaran akademik.

RUU Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri, Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 yang diperuntukkan bagi memberi perlindungan skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada individu yang bekerja sendiri turut mendapat kelulusan.

Sebagai permulaan, rang undang-undang baharu itu akan diguna pakai bagi memberi perlindungan Perkeso kepada pemandu teksi yang bekerja sendiri, serta pemberi perkhidmatan kenderaan ”e-hailing” termasuk Uber dan Grabcar, sebelum diperluas kepada sektor pekerjaan sendiri yang lain.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membentangkan RUU Cukai Pelancongan 2017 bertujuan mengadakan peruntukan bagi pengenaan dan pemungutan cukai pelancongan terhadap pelancong yang menginap di premis pelancongan di Malaysia, yang turut diluluskan Dewan Negara.

Turut diluluskan, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017 yang antara lain melibatkan perluasan pemakaian Seksyen 326A Kanun Keseksaan kepada kesalahan yang dilakukan terhadap bekas suami atau isteri, kanak-kanak, orang dewasa tidak berkeupayaan atau anggota keluarga yang lain.

Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri S.A.Vigneswaran mengumumkan usul itu diluluskan setelah menyaksikan lebih suara menyokong berbanding membantah. Vigneswaran kemudiannya merakamkan penghargaan kepada anggota dewan, Timbalan Speaker Dewan Negara, warga kerja Parlimen serta kakitangan Dewan Negara yang telah melaksanakan tanggungjawab dalam memastikan kelancaran persidangan kali ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang menamatkan tugasnya sebagai anggota Dewan Negara pada sesi ini. Persidangan Dewan Negara ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. – Bernama

The post Dewan Negara lulus 13 RUU appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian