Disiplin, pengorbanan bantu Azizulhasni muncul juara dunia: Isteri

IPOH, 17 Rejab 1438H, Jumaat – “Disiplin yang tinggi dan pengorbanan membantu dia merangkul gelaran dunia,” demikian kata Athiah Ilyana Abd Samat, isteri kepada jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang.

Athiah Ilyana, 31, berkata Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’, telah berusaha keras serta komited terhadap kariernya demi mencapai kejayaan yang sekian lama diidamkannya itu.

“Dia memang seorang yang bersungguh-sungguh untuk menang. Walaupun bertubuh kecil berbanding pelumba lain, dia mampu bersaing dengan mereka kerana dia mempunyai fizikal dan mental yang luar biasa.

“Legenda tinju dunia, Muhammad Ali merupakan sumber inspirasinya. Setiap kali nak pergi latihan, dia akan dengar kata-kata ucapan peninju itu di dalam kereta,” kata Athiah Ilyana ketika ditemui di kediaman keluarganya di sini hari ini.

Selain itu, Athiah Ilyana berkata, berjauhan dengan keluarga termasuk anak-anak adalah antara pengorbanan yang terpaksa dilakukan Azizulhasni demi menempa kejayaan dalam kariernya.

“Namun, sebagai isteri saya memahami keadaan itu dan berdoa daripada jauh agar dia sentiasa memperoleh kejayaan,” katanya.

Mohd Azizulhasni menampilkan kayuhan bertenaga untuk meraih pingat emas pertama Malaysia pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong, semalam.

Mengulas lanjut, ibu kepada dua cahaya mata itu, berkata, beliau sebelum itu merasakan suaminya mampu melakar kejayaan itu setelah Azizulhasni mara ke peringkat akhir.

“Ketika melihat dia berlumba di peringkat akhir, hati saya berdebar-debar. Apabila dia menang, kami semua menjerit dan sangat bersyukur,” katanya sambil menambah bahawa sebelum perlumbaan, Azizulhasni menelefonnya dan menyatakan akan membawa pulang jersi pelangi selaku juara dunia.

Athiah Ilyana berharap kejayaan yang diraih jaguh berbasikal trek negara itu dapat dicontohi anak-anak muda yang meminati sukan berbasikal. – Bernama

The post Disiplin, pengorbanan bantu Azizulhasni muncul juara dunia: Isteri appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian