Hak Asasi Manusia dan Keadilan bagi Wanita

Merujuk kepada berita bertarikh 5 April yang dilaporkan di Malay Mail Online, di mana calon-calon pramugari yang ditemuduga untuk syarikat penerbangan tempatan iaitu Malindo Air, telah diminta untuk mendedahkan dada, mengangkat skirt, menggulung ke atas seluar dan melondehkan sarung kaki mereka sehingga calon-calon ini hanya memakai pakaian dalam mereka sahaja. Permintaan ini adalah untuk pemeriksaan fizikal bagi melihat jika ada sebarang kesan tatu, parut dan kecacatan lain pada tubuh calon-calon. Perbuatan Malindo Air ini adalah suatu yang tidak masuk akal, mengaibkan serta menjatuhkan maruah wanita sama ada beragama Islam atau tidak.

Kemudian, pihak atasan syarikat penerbangan ini telah mempertahankan tindakan mereka dengan mengatakan itu adalah hak mereka sebagai bakal majikan dan ia adalah prosedur yang biasa dilakukan kepada semua calon pramugari setelah mereka mendapat persetujuan calon-calon.

Perlembagaan Persekutuan

Kita akan melihat kes ini daripada beberapa sudut, iaitu dari sudut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang hak asasi antarabangsa dalam Deklarasi Kaherah.

Kita dapati bahawa golongan wanita di Malaysia kebanyakannya sering mendapat hak yang mereka kehendaki sama ada dari segi peluang pekerjaan, dalam bidang ekonomi, pemilikan harta, hak bersuara dan sebagainya. Oleh itu, golongan wanita di Malaysia merupakan golongan yang “istimewa” jika dibandingkan dengan golongan wanita di negara-negara Islam yang lain. Golongan wanita di Malaysia tidak didiskriminasi dalam banyak keadaan dan mendapat hak yang sama rata dengan kaum lelaki di Malaysia.

Prinsip menghormati dan mengangkat hak serta martabat wanita telah dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa: “Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang”.

Jelas, Perlembagaan Malaysia mengiktiraf semua golongan di Malaysia dan mendapat perlindungan yang sama rata tanpa membezakan antara agama, bangsa dan jantina seseorang. Ini termasuk hak untuk mendapat kemuliaan diri dan hak ke atas maruah.

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan pula menegaskan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Maka adalah menjadi kewajipan ke atas Kerajaan Malaysia untuk memastikan dan membantu rakyat mengamalkan kehidupan seharian mengikut landasan syarak yang telah ditetapkan.

Deklarasi Kaherah

Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia  (UDHR) merupakan satu bentuk kawalan atau piawaian antarabangsa ke atas negara-negara di dunia dalam sidang Penilaian Berkala Sejagat  (UPR). Tetapi deklarasi itu tidak mempunyai kuasa undang-undang yang mengikat.

Terdapat satu lagi dokumen hak asasi khusus untuk negara-negara Islam yang dikenali sebagai Deklarasi Kaherah yang diwujudkan oleh Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada tahun 1990. Deklarasi Kaherah adalah garis panduan umum bagi anggota-anggota OIC dalam bidang Hak Asasi Manusia (HAM), yang boleh dilihat sebagai alternatif kepada UDHR.

Sejarah Deklarasi Kaherah ini diwujudkan oleh OIC berdasarkan bantahan negara-negara Islam terhadap UDHR yang dikritik sebagai satu bentuk penjajahan ke atas negara Islam. Pada 30 Jun 2000, ahli-ahli OIC bersetuju menyokong Deklarasi Kaherah. Deklarasi ini memberi gambaran menyeluruh melalui perspektif Islam mengenai hak asasi manusia dan mengesahkan syariah sebagai sumbernya yang tunggal. Namun OIC tidaklah mengetepikan PBB dalam membuat Deklarasi Kaherah sebaliknya bertujuan untuk menjadikannya alternatif.

Malaysia dengan kerangka perundangan yang meletakkan Islam pada kedudukan utama, maka Deklarasi Kaherah adalah lebih sesuai untuk Malaysia berbanding UDHR.

Deklarasi Kaherah juga menyatakan tentang hak wanita Islam iaitu:- 

Artikel 1 menyebut: “Semua manusia membentuk satu keluarga yang ahli-ahlinya disatukan oleh penyerahan kepada Tuhan dan keturunan daripada Nabi Adam. Semua manusia sama dari segi martabat asas serta kewajipan dan tanggungjawab asas, tanpa diskriminasi disebabkan kaum, warna kulit, bahasa, gender, kepercayaan agama, afiliasi politik, status sosial ataupun perkiraan-perkiraan lain. Kepercayaan tulen merupakan jaminan buat pengukukuhan martabat kepada kesempurnaan manusia.”

Artikel 6 pula menyebut: “(1). Perempuan memiliki martabat dan maruah yang sama dengan laki-laki; dan ia memiliki hak-hak yang boleh dinikmatinya di samping kewajiban-kewajiban yang harus dilaksanakannya; ia memiliki hak sivil serta kebebasan kewangan, dan juga memiliki hak mempertahankan nama baik diri, peribadi dan anak keturunannya.”

Artikel 13 menambah lagi bahawa: “Bekerja merupakan hak yang dijamin oleh pemerintah dan masyarakat bagi siapa saja yang mampu bekerja. Setiap orang berhak memilih pekerjaan yang paling sesuai dan berguna bagi dirinya dan masyarakat. Setiap pekerja memiliki hak keselamatan dan keamanan dan jaminan sosial lainnya. Setiap pekerja tidak boleh diberi pekerjaan yang melebihi kemampuannya, dipaksa, ditekan atau dirugikan dalam bentuk apapun. Ia memperoleh hak tanpa ada diskriminasi antara laki-laki dan perempuan untuk mendapatkan upah yang layak atas hasil kerjanya tanpa ada penundaan waktu, juga berhak menikmati liburan, wang saku dan kenaikan pangkat yang menjadi haknya. Dalam hal ini, dia wajib berdedikasi dan bertindak teliti dalam bekerja. Bila pekerja dan pegawai berselisih dalam suatu urusan, pemerintah harus campur tangan untuk menyelesaikan perselisihan itu dan memiliki keluhan yang diperbaiki; hak-hak dikukuhkan dan keadilan ditegakkan tanpa penyelewengan sedikitpun.”

Pelanggaran Hak Asasi Manusia

Jelas sekali, permintaan Malindo Air untuk menjalankan pemeriksaan yang bersikap intrusif ini melanggar hak asasi manusia seorang pekerja wanita yang berhak mendapat hak perlindungan, hak untuk mempertahankan nama baik dan peribadinya, serta hak kesejahteraan seperti yang tercatit dalam Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Kaherah.

Tindakan ini juga salah di sisi Islam kerana memperlekehkan martabat wanita dan seolah-olah memaksa mengikut kehendak pihak pengurusan yang boleh dikatakan biadab ke atas hak asasi seorang wanita. Malang sekali apabila kita lihat sebenarnya kebiadaban ini bukanlah perkara baru.

Dalam beberapa kes sebelum ini seperti kes Rafiza Shima Mohamed Aris lwn. Air Asia Bhd yang diputuskan pada 3 Julai 2004 di mana beliau telah diberhentikan kerana mengandung dan tidak boleh menjalani latihan yang agak padat. kes yang lain ialah Noorfadila Ahmad Saikin lwn. Chayed Basirun & Ors, di mana beliau telah mendapat tawaran Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) tetapi beliau tidak dibenarkan mengambil jawatan itu setelah didapati mengandung.

Dalam kedua-dua kes tersebut, terdapat diskriminasi gender dan ketidakadilan kepada wanita yang bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang antarabangsa CEDAW.

Walaubagaimanapun, kedua-dua kes ini ditolak di Mahkhamah Tinggi, di mana dalam kes Rafiza Shima, responden adalah pihak syarikat persendirian dan bukan pihak kerajaan maka undang-undang di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh digunapakai. Sementara dalam kes Noorfadila, undang-undang antarabangsa tertolak kerana ia tidak mengikat dari segi undang-undang selagi mana ia tidak digubal ke dalam mana-mana perundangan tempatan selepas dibahaskan di Parlimen untuk dikuatkuasakan.

Allah swt telah berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak cucu Adam, dan kami angkut mereka di darat dan laut, dan Kami beri mereka dari rezeki yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka di atas banyak makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna.”

Rasulullah saw dalam khutbah terakhirnya ada mengatakan: “Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.”

Islam memuliakan wanita dan meletakkan mereka di dalam golongan yang harus dipelihara dan dilindungi. Inilah intipati yang telah dimasukkan ke dalam Deklarasi Kaherah bagi memartabatkan peranan wanita dalam masyarakat.

Kesimpulannya, kami mencadangkan beberapa perkara:-

  1. Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu ditafsir secara menyeluruh dan melibatkan hak menjaga maruah wanita.
  2. Kerajaan perlu mengambil tanggungjawab memastikan rakyat terutama para wanita yang merupakan hampir separuh populasi dan tunjang utama sebuah keluarga dapat hidup sejahtera dan diberikan hak-hak mereka selaras dengan tuntutan syarak dan Perlembagaan Persekutuan.
  3. Sudah tiba masanya kerajaan meneliti kembali kelemahan-kelemahan dalam undang-undang seperti dalam kes yang disebut di atas di mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dikuatkuasakan terhadap syarikat-syarikat persendirian.
  4. Kami juga ingin memohon kerajaan mengambil undang-undang antarabangsa seperti Deklarasi Kaherah yang dibentuk mengikut undang-undang Islam supaya digubal masuk ke dalam perundangan negara untuk digunapakai.
  5. Bersesuaian dengan Islam sebagai agama Persekutuan yang melibatkan cara hidup seseorang, kami dengan ini meminta pihak-pihak yang berkenaan seperti pihak pengurusan Malindo Air agar menghormati undang-undang dan roh Perlembagaan Persekutuan dalam mengenakan kod pakaian yang bermaruah dan tidak menjolok mata kepada kakitangannya.

Sudah terlalu banyak kes yang berlaku menunjukkan penganiayaan dan kezaliman terhadap wanita, maka kami menggesa kerajaan memperbaharui dan menguatkuasakan undang-undang di atas ini sesegera mungkin.

Dr Norzila binti Baharin

JKP ISMA

Naib Ketua Wanita ISMA

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian