Isma Kemaman FC juara Kejohanan Bolasepak 9 Sebelah Tertutup Kemaman
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
CHUKAI, 3 Syaaban 1438H, Ahad – Tidak sangka dan teruja antara perasaan yang dirasakan pasukan Isma Kelantan FC setelah berjaya merangkul gelaran juara pada Kejohanan Bolasepak 9 Sebelah Tertutup Kemaman yang diadakan di Stadium Makchili Chukai, Kemaman, semalam.
Pengurus Pasukan Isma Kemaman FC, Mohd Aiman Mohd Bustamin yang menyampaikan berita gembira itu berkata, kemenangan itu menjadi lebih bermakna apabila pasukannya antara pasukan baru yang bertanding berbanding pasukan-pasukan lain di Kemaman.
“Alhamdullilah, segala pelaburan dan penat lelah selama ini hilang apabila melihat piala yang dijulang. Saya ingin berikan pujian kepada kapten pasukan Isma Kemaman FC, Saudara Mohd Hafez Mohd Asri yang begitu komitmen dalam memimpin pasukan sehingga berjaya.
“Saya berasa sangat teruja kerana kami tidak sangka boleh memenangi kejohanan ini terutamanya apabila beberapa pemain bintang kami tidak dapat beraksi bersama,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Susulan kemenangan membanggakan itu, Aiman membawa harapan agar Isma Kemaman FC yang telah ditubuhkan ini akan konsisten dalam menerapkan disiplin yang tinggi di kalangan pemain bukan sahaja di padang malahan dalam kehidupan seharian setiap pemain.
“Malahan, harapan yang lebih tinggi adalah untuk membentuk mereka ini menjadi insan yang soleh dan sentiasa berusaha melakukan amal kebaikan.
“Kami yakin sepenuhnya melalui penerapan nilai agama Islam dalam diri pemain akan dapat membenteras masalah rasuah serta masalah displin yang sering kita dengar kerana mereka faham tujuan bermain bola bukanlah semata-mata untuk mencari wang yang banyak tetapi paling utama untuk menggapai redha Ilahi,” katanya.
Kejohanan Bolasepak 9 Sebelah Tertutup Kemaman yang diadakan bermula jam 8 pagi itu dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan BSS 14.
Johan membawa pulang sebuah piala dan medal bernilai RM1000, naib johan membawa pulang medal berjumlah RM700 manakala pasukan yang memenangi tempat ketiga dan keempat memenangi medal berjumlah RM300.
The post Isma Kemaman FC juara Kejohanan Bolasepak 9 Sebelah Tertutup Kemaman appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan