KDN arah Nanyang Siang Pau gantung penyunting, kartunis

KUALA LUMPUR, 24 Rejab 1438H, Jumaat – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan akhbar Nanyang Siang Pau mengambil tindakan disiplin dalaman atau menggantung penyunting, penolong penyunting serta kartunis yang terbabit dalam menerbitkan karikatur monyet baru-baru ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dipetik Oriental Daily berkata, KDN sudah memulakan siasatan terhadap perkara itu mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana kartun itu mengguris hati umat Islam.

Beliau berkata, permit penerbitan Nanyang Siang Pau dikeluarkan KDN di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Justeru, pihaknya sudah mengeluarkan surat amaran kepada akhbar berkenaan meminta mereka mengambil tindakan terhadap individu terbabit untuk dijadikan amaran.

“KDN akan terus memantau akhbar itu bagi memastikan mereka mengambil tindakan berkenaan,” katanya ketika menggulung perbahasan mewakili kementeriannya pada persidangan Dewan Negara semalam.

Akhbar itu, pada 8 April lalu di ruangan kartunnya memaparkan seekor monyet bersongkok dilabel sebagai “speaker” dan seekor lagi memakai serban dinamakan “Hadi Awang” bertenggek di sebatang pokok “Akta 355”, merujuk rang undang-undang persendirian Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Akhbar itu kemudiannya memohon maaf secara terbuka kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan presiden PAS itu di akhbarnya, serta mengeluarkan kartun itu dari laman webnya, eNanyang.my.

Bagaimanapun, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad mahu KDN memberi amaran keras dengan menggantung permit penerbitan akhbar itu selama 1 minggu, manakala Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti Islam itu tidak akan berkompromi dan mahu menyaman Nanyang Siang Pau.

Abdul Hadi pula berkata, beliau memaafkan Nanyang Siang Pau kerana menganggap perbuatan mereka akibat kejahilan “memahami batasan sensitiviti agama”, selepas menerima surat permohonan maaf terbuka daripada akhbar berbahasa Cina itu pada 12 April lalu.

The post KDN arah Nanyang Siang Pau gantung penyunting, kartunis appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian