Kes pelajar tahfiz: Kementerian tunggu laporan penuh
KUALA LUMPUR, 29 Rejab 1438H, Rabu – Kementerian Kesihatan menunggu laporan berhubung punca kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi di Hospital Sultan Ismail petang ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, pihaknya perlu meneliti laporan itu terlebih dahulu untuk menentukan sekiranya mangsa pernah menghidapi penyakit lain.
“Biar saya terima laporan penuh daripada pihak yang merawat (Hospital Sultan Ismail (HSI) itu dahulu sebelum maklumkan apa-apa.
“Sebelum ini telah dilaporkan bukti-bukti yang menyebabkan mangsa memerlukan rawatan terperinci seperti kecederaan, pendarahan di bawah kulit dan jangkitan,” katanya kepada pemberita, petang ini.
Mohamad Thaqif yang dipotong kedua belah kakinya Jumaat lalu akibat jangkitan kuman dilaporkan meninggal dunia di HSI jam 2.05 petang tadi.
Perkara itu dimaklumkan bapa Allahyarham, Mohd Ghaddafi Mat Karim.
Allahyarham sepatutnya menjalani pembedahan memotong tangan kanannya pagi tadi kerana jangkitan kuman namun terpaksa ditangguhkan kerana keadaan jantungnya yang tidak stabil.
The post Kes pelajar tahfiz: Kementerian tunggu laporan penuh appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan