Kes rasuah Johor: Beberapa individu dijangka didakwa dalam masa terdekat
JOHOR BAHRU, 22 Rejab 1438H, Rabu – Beberapa individu dijangka akan didakwa berhubung kes rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini dalam tempoh terdekat.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki yang mengesahkan perkara itu berkata buat masa ini, pihaknya dan Timbalan Pendakwa Raya sedang memperkemaskan beberapa elemen siasatan.
“Saya tidak akan dedahkan nama-nama mereka. Cukup saya katakan mereka yang bakal didakwa adalah dalam kalangan mereka yang pernah ditangkap berhubung kes ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri satu mesyuarat operasi bersama Pengarah Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani dan Pengarah SPRM Negeri Datuk Azmi Alias di sini hari ini.
Azam turut menolak spekulasi bahawa ada orang kenamaan (VIP) yang akan didakwa.
“Jangan buat sebarang spekulasi mana-mana pihak VIP terlibat dan sebagainya. Tidak ada tetapi (yang akan didakwa) dalam kalangan mereka yang pernah ditangkap.
“Ada juga kemungkinan yang dituduh hari ini akan dihadapkan semula ke mahkamah dan ada rakan mereka yang akan dituduh sekali,” kata Azam.
Pagi tadi, Exco kerajaan negeri Datuk Abd Latiff Bandi bersama seorang perunding hartanah, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 33 pertuduhan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta.
Tertuduh, 51, bersama Amir Shariffuddin Abd Raub, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.
Selain Abd Latif dan Amir Shariffuddin, SPRM pernah menahan enam individu lain termasuk anak lelaki Abd Latif, pegawai khas Abd Latif, seorang orang awam, dua pemaju dan seorang peguam bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
Sementara itu, Azam berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri atas kerjasama baik sepanjang siasatan kes itu.- Bernama
The post Kes rasuah Johor: Beberapa individu dijangka didakwa dalam masa terdekat appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan