Kesihatan pekerja usia 40 tahun ke atas membimbangkan: Perkeso
KUALA LUMPUR, 21 Rejab 1438H, Selasa – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pekerja berusia 40 tahun ke atas antara golongan yang dikenal pasti menghadapi masalah berat badan berlebihan dan mempunyai paras kolesterol tinggi yang dianggap membimbangkan.
Beliau berkata, jumlah itu diperoleh hasil daripada laporan pemeriksaan yang dijalankan menerusi Program Saringan Kesihatan yang dikendalikan agensi itu.
“Menerusi program itu yang dilancarkan pada 2013, seramai 2.4 juta orang pekerja layak menjalani pemeriksaan kesihatan, namun hanya 450,641 daripadanya membuat saringan dan 73 peratus daripadanya mempunyai masalah berat badan berlebihan manakala 62 peratus mempunyai paras kolesterol yang tinggi.
“Peratusan itu agak tinggi dan membimbangkan. Sekiranya berat badan dan tahap kolesterol tidak dikawal, pekerja boleh menghidap pelbagai penyakit lain antaranya masalah jantung dan kencing manis,” katanya kepada akhbar tempatan, semalam.
Malah, beliau berkata, hasil saringan ke atas pekerja wanita mendapati sebahagian daripada mereka menghidap kanser payu dara serta kanser pangkal rahim, namun masih dalam peringkat awal dan boleh diubati.
Memberi cadangan kepada masalah itu, Mohammed Azman berkata, pekerja perlu membuang perasaan takut untuk menjalani pemeriksaan.
Ini kerana, katanya, sikap mereka yang memandang mudah kepada tahap kesihatan hanya akan memudaratkan diri sendiri.
“Saya tidak tahu kenapa ada yang enggan membuat saringan kesihatan, sama ada mereka terlalu sibuk atau takut berhadapan dengan realiti sekiranya menghidap apa-apa penyakit yang serius.
“Lebih baik kita tahu keadaan sebenar kesihatan diri sendiri pada peringkat awal kerana masih ada masa untuk berubat daripada mengetahuinya pada saat-saat akhir,” katanya.
The post Kesihatan pekerja usia 40 tahun ke atas membimbangkan: Perkeso appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan