Kuasa politik Melayu ada pada PAS dan UMNO, kata Hadi Awang

BANGI, 19 Rejab 1438H, Ahad – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kuasa politik orang Melayu ada pada parti itu dan UMNO, namun mana-mana parti yang mahu bersama PAS ada syaratnya iaitu menerima Islam.

Menjawab soalan mengenai mengenai kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam temubual eksklusif dengan Mingguan Malaysia hari ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, jika mana-mana parti hendak mentadbir Malaysia, maka pilih PAS atau UMNO.

Mengulas serangan parti rasis dan cauvinis DAP terhadap PAS sedangkan mereka bukan lagi dalam blok pembangkang yang sama, beliau berkata, serangan DAP itu dibuat kerana PAS tidak berkompromi mengenai kepentingan Islam.

“DAP sedar PAS menjadi penghalang utama kerakusan mereka yang mahu memerintah Malaysia atau mahu suara mereka kuat dan mampu menundukkan pihak lain. Ini bukti PAS tak pernah tunduk kepada sesiapa, sama ada DAP atau UMNO. PAS ada jati diri Islam,” katanya.

Beliau juga berkata, kerjasama PAS dengan UMNO adalah atas dasar ta’awun iaitu bekerjasama dalam perkara kebaikan dan tidak bekerjasama dalam perkara kejahatan.

“PAS bersama UMNO dalam isu RUU355, Rohingya tetapi PAS menentang UMNO dalam isu TPPA, GST dan Akta 164. Ini kematangan PAS dalam berpolitik.

“Kita bukan berperang 24 jam, ada masa kita bekerjasama untuk kebaikan Islam dan rakyat. Kita ingin menawarkan politik yang lebih harmoni ke dalam masyarakat kerana politiking melampau dan adu domba tidak ada kebaikan untuk negara. Kita ingin membawa rakyat keluar daripada masalah, bukannya memberi masalah baharu kepada rakyat,” katanya.

Mengenai tindakan PAN yang cuba meraih undi dengan terus memperalatkan nama Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz dan DAP pula membandingkan Allahyarham dengan kepemimpinan beliau, Abdul Hadi berkata, jika sesuatu pihak itu kuat dan mampu berdikari, tentunya mereka tidak akan mempergunakan tokoh yang tetap istiqamah bersama PAS hingga akhir hayatnya.

“Nampaknya mereka tak boleh berdiri atas kaki sendiri sehingga terpaksa menggunakan nama Allahyarham Nik Abdul Aziz untuk menghalalkan tindakan mereka. Apatah lagi kita melihat mereka telah menjadi jurucakap kepada pihak yang keras dan kasar terhadap pelaksanaan syiar Islam dalam negara ini.

“Lihat dan telitilah balik kenyataan Allahyarham Nik Aziz yang keras terhadap DAP apabila mereka menentang apa yang direncanakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Hakikatnya ialah Allahyarhamlah yang memberikan sokongan dan dokongan yang kuat kepada saya semasa saya menjadi Presiden PAS selama ini,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan PKR, Beliau berkata, keputusannya akan diputuskan dalam muktamar agong parti itu hujung bulan ini.

The post Kuasa politik Melayu ada pada PAS dan UMNO, kata Hadi Awang appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?