Lucu Pemuda PAS cabar saya pertahan kerusi Pandan, kata Rafizi
BANGI, 1 Syaaban 1438H, Jumaat – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menyifatkan cabaran perwakilan Pemuda PAS Selangor supaya beliau bertanding lagi di Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, sebagai laungan yang melucukan.
Ini kerana, katanya, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara satu setengah tahun atas pertuduhan membongkar Laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan bagaimana 1MDB tidak membayar anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan geran kerajaan diambil 1MDB walaupun dikeluarkan kepada anak syarikat LTAT.
“Atas sabitan itu, saya tidak dapat bertanding lagi dalam pilihanraya akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, sebagai mengulas cabaran dibuat wakil Pemuda PAS Selangor, Mohd Sukri Omar ketika perbahasan pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS di Kota Sarang Semut, Kedah, hari ini.
Sebaliknya, Rafizi berkata, beliau adalah wakil pembangkang pertama memenangi kerusi Pandan dengan majoriti besar iaitu kira-kira 27,000 atau 67 peratus undi popular.
“Malah, kemenangan PRU13 lalu menjadikan saya Ahli Parlimen Melayu pembangkang yang mempunyai saiz majoriti paling besar di seluruh negara, jauh meninggalkan sahabat-sahabat dari PAS. Di Pandan juga, undi Melayu yang saya menangi di peringkat Parlimen Pandan jauh meninggalkan undi Melayu yang dimenangi Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad yang bertanding di DUN Cempaka di dalam Parlimen saya.
“Maknanya ada pengundi Melayu di Pandan yang mengundi saya tetapi tidak mengundi PAS. Sebab itu adalah sangat lucu apabila Pemuda PAS mencabar saya bertanding di Pandan kerana saya bukannya takut atau mahu lari ke mana-mana!,” katanya.
Beliau menyindir Pemuda PAS kerana tidak bersamanya dalam membongkar penyelewengan dan rasuah besar membabitkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
“Saya mengikuti laporan serangan Pemuda PAS terhadap saya dari kandang tertuduh di Mahkamah Sesyen 8, Mahkamah Shah Alam atas pertuduhan berhubung pendedahan saya mengenai skandal NFC dahulu.
“Kalaulah ada anak-anak muda dan pemimpin Pemuda PAS yang sama-sama membantu saya menjalankan amanah melawan penyelewengan dan rasuah besar yang membabitkan pentadbiran Najib, mungkin di sebelah saya di dalam kandang tertuduh adalah anak-anak muda pimpinan Pemuda PAS ini,” katanya.
Malangnya, Rafizi berkata, ada pimpinan PAS dahulu dan sekarang lebih selesa menerima wang rakyat daripada Perdana Menteri atau, menyertai rombongan ke luar negara bersama pimpinan kerajaan, atau hadir dalam majlis Kelab UMNO di United Kingdom, atau lebih selesa tidak mengundi di Dewan Rakyat apabila Najib membentangkan kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menekan rakyat.
“Mencabar saingan politik kita dengan pelbagai gelaran dan ugutan bukanlah lambang keberanian. Lambang sebenar keberanian ialah berkata benar kepada pemerintah yang berkuasa sepenuhnya dan akan memenjarakan kita kerana kita berkata benar,” katanya.
The post Lucu Pemuda PAS cabar saya pertahan kerusi Pandan, kata Rafizi appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan