Najib jangan selesa, harapkan inflasi turun: PAS
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 22 Rejab 1438H, Rabu – PAS mengingatkan kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya tidak terus selesa dengan mengharapkan bahawa kadar peningkatan inflasi di Malaysia akan turun secara tiba-tiba, tanpa sebarang usaha.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiga faktor yang menyumbang kepada peningkatan inflasi pada bulan lalu adalah ekoran kenaikan harga minyak tinggi, kelemahan nilai ringgit dan keadaan kerajaan yang lambat bertindak.
“Apakah kerajaan sedang mengharapkan bahawa kadar inflasi ini akan menurun dengan sendirinya tanpa perlu melakukan apa-apa?
“Kerajaan dinasihatkan jangan meletakkan harapan bahawa harga minyak sedunia boleh menjadi stabil untuk dua suku terakhir 2017,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, ketegangan di peringkat dunia hari ini akan terus menjadikan keadaan semakin tidak menentu, ditambah dengan tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang bukan sahaja melulu, bahkan beremosi dan sukar dijangka.
“Jika kerajaan meletakkan harapan bahawa inflasi akan pulih dengan pemulihan nilai Ringgit.
” PAS ingin mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa ketika beliau memberikan keyakinan pada rakyat Malaysia bahawa nilai Ringgit akan pulih pada tanggal 9 December 2016 yang lalu, nilai Ringgit berada pada tahap RM4.40 ke USD1,” katanya.
Malah katanya, sepanjang tempoh empat bulan sebelum ini, pemulihan nilai ringgit yang kerap dicanang oleh Najib itu sekadar penyedap hati semata-mata apabila ia masih kekal pada tahap RM4.40 ke USD1.
“Setakat ini, sebenarnya tiada apa-apa jaminan yang boleh memastikan nilai Ringgit akan pulih mahupun harga minyak sedunia akan kembali stabil pada 2017. Bahkan, kerajaan sendiri pun tidak pasti.
“Memandangkan SPRM kini semakin hebat membantu kerajaan membasmi rasuah, sepatutnya perbelanjaan kerajaan dah berkurangan ekoran kurangnya kebocoran dan ketirisan,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, penjimatan itu kini boleh disalurkan kembali sebagai subsidi kepada rakyat untuk menampung kenaikan kos sara hidup, malah subsidi juga wajar diberikan semula.
“Selain itu, sistem GST yang amat menganiaya rakyat golongan berpendapatan sederhana dan rendah (golongan B40) perlu dimansuhkan.
“Hasil pendapatan negara melalui GST boleh ditampung dengan cukai atas simpanan syarikat dan korporat, dan cukai atas keuntungan perdagangan saham bagi menampung ekonomi negara.
“Langkah ini dipercayai akan dapat meningkatkan kemampuan perbelanjaan dan kekuatan modal golongan B40 berbanding GST tatkala berdepan dengan kenaikan inflasi yang dirasai hari ini,” katanya.
The post Najib jangan selesa, harapkan inflasi turun: PAS appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan