PAS tolak DAP sebab rasis, cauvinis, Bersatu pula tiada arah tuju
Oleh Razali bin Zakaria
KOTA SARANG SEMUT, 2 Syaaban 1438H, Sabtu – PAS menolak kerjasama dengan DAP disebabkan konsep parti yang berasaskan kaum Cina itu, kerana sikapnya yang rasis dan cauvinis serta secara terang menolak Islam yang dibawa PAS.
PAS juga hari ini mengumumkan keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana menyifatkan parti baharu itu tiada arah tuju.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, majoriti rakyat Malaysia beragama Islam, tetapi apabila DAP membawa fahaman cauvinis yang terasnya untuk satu kaum sahaja, ia bercanggah dengan konsep perjuangan PAS.
“Konsep dan prinsip parti berasaskan kaum Cina itu rasis dan terang-terangan menolak Islam, sekali gus bercanggah dengan Perlembagaan (Persekutuan).
“Contohnya tentang usul persendirian undang-undang untuk emminda Akta Mahkamah Syariah yang ditentang DAP sejak awal lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Ke-63 di Kompleks PAS Kedah di sini, hari ini.
Selain itu, Abdul Hadi berkata, PAS telah menetapkan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak mempunyai arah tuju.
“Kita tak boleh layan parti yang tak sama dengan kita, kita dah buat penilaian, parti Pribumi tak ada ketentuan arah kerana pemimpin kita tak tahu, siapa imam, siapa makmum dan kita buat keputusan tak ada hubungan dengannya,” katanya.
Terdahulu dalam ucaptama merasmikan muktamar itu, beliau berkata, tiada siapa boleh memaksa atau mengugut PAS untuk menyatakan pendirian, apatah lagi apabila ianya membabitkan strategi yang akan dilaksanakan.
“Kita juga memerlukan pendekatan yang boleh menyatukan kepelbagaian kaum, dengan mereka uga memahami keperluan masyarakat Islam untuk terus mengamalkan kehidupan keagama di tanah air mereka ini.
“Kita tidak pernah memusuhi mana-mana kaum yang ada dalam negara kita ini kerana mereka juga adalah menyumbang kepada keharmonian yang berpanjangan di Malaysia. Yang penting ialah kita menyerlahkan keyakinan Islam sebagai penyelesaian dan melibatkan idea-idea bernas dan kritis dari rakyat untuk perubahan di Malaysia.
“Perubahan melalui politik pilihan raya yang kita impikan pula mestilah dicapai tanpa konflik yang merosakkan rakyat. Keharmonian mesti dipertahankan. Oleh yang demikian politik kebencian, permusuhan kaum, cauvinis wajar dielakkan,” katanya.
Selain itu beliau menggariskan kebimbangan rakyat dan prospek masa depan negara dipengaruhi oleh beberapa isu yang wajar ditangani bersama. Antaranya ialah, masalah sosial dan kebajikan; tekanan ekonomi dan kos sara hidup; tadbir urus dan rasuah; dan ancaman kedaulatan serantau.
The post PAS tolak DAP sebab rasis, cauvinis, Bersatu pula tiada arah tuju appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan