Pelajar dakwa keracunan makanan, rupa-rupanya helah nak balik kampung

KUANTAN, 16 Rejab 1438H, Khamis – Kira-kira 30 orang pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh beramai-ramai mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Sanggang semalam dan hari ini atas alasan mengalami keracunan makanan.

Mereka mendakwa mengalami simptom sakit perut selain demam.

Namun pengetua sekolah berkenaan Zaberi Abdul Hamid memberitahu tidak berlaku kes keracunan makanan, sebaliknya ia hanya berupa helah pelajar untuk balik bercuti.

“Mereka mengadu sakit perut dan penyelia asrama telah membawa mereka ke klinik. Tetapi selepas pemeriksaan dan siasatan dibuat, ternyata mereka sebenarnya tidak sakit.

“Semua yang terlibat adalah pelajar tingkatan satu dan dua. Ada beberapa orang yang demam biasa dan selebihnya hanya untuk dapatkan sijil cuti sakit (MC) kerana mahu balik bercuti di rumah,” katanya kepada Bernama.

Zaberi berkata pelajar tingkatan tiga, empat dan lima tidak pula mendakwa terkena keracunan makanan, sedangkan mereka juga makan di dewan makan asrama.

“Jika mereka betul-betul terkena keracunan makanan, sudah tentu pelajar lain juga turut terjejas. Namun saya telah meminta doktor menjalankan pemeriksaan teliti, jika ada pelajar yang tidak sihat sudah pasti kita benarkan mereka pulang ke rumah.

“Pemantauan ke atas keperluan dan keadaan semasa pelajar sentiasa dilakukan sebaik mungkin bagi memastikan tiada perkara buruk menimpa mereka sepanjang mereka berada di bawah jagaan pihak sekolah,” katanya.

— BERNAMA

The post Pelajar dakwa keracunan makanan, rupa-rupanya helah nak balik kampung appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?