Pelajar tahfiz dipercayai dipukul, kini alami darah beku pada lengan kiri

JOHOR BAHRU, 27 Rejab 1438H, Isnin – Keadaan pelajar madrasah tahfiz yang cedera dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, selepas dipercayai dipukul seorang pembantu warden semakin membimbangkan selepas doktor mengesan darah beku di lengan kirinya, semalam.

Ibu saudara pelajar berumur 11 tahun itu, Nurul Nabila Ahmad, 30, berkata Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffie yang kini ditempatkan di Unit Dependensi Tinggi (HDU) masih dalam keadaan kritikal, namun bengkak pada mukanya sudah surut selepas menjalani dialisis.

Nurul Nabila berkata, keluarga mereka turut dimaklumkan doktor bahawa pembedahan tangan kanan Mohamad Thaqif Amin yang dilakukan semalam bagi membuang darah beku menunjukkan hasil positif dan berkemungkinan besar tangan tersebut dapat diselamatkan.

“Kami dinasihati doktor sebelum ini untuk memotong tangan kanan tersebut tetapi kami tidak bersetuju. Buat masa ini tangan itu masih dipantau selama 48 jam mulai semalam sehingga pagi esok,” katanya yang ditemui pemberita di lobi HSI di sini hari ini.

Menurut Nurul Nabila, Mohamad Thaqif Amin yang merupakan anak ketiga dari lima beradik kini belum sedarkan diri atau memberi sebarang respon sejak pembedahan terhadap lengan kanannya semalam.

Mengenai darah beku di lengan kiri pula, Nurul Nabila berkata, doktor sudah memberikan ubat bagi mencairkan darah dan memantau keadaan lengan tersebut.

Nurul Nabila turut menafikan cakap-cakap bahawa anak saudaranya itu pernah diberikan ubat tahan sakit untuk kegunaan wanita bersalin serta menerima rawatan tradisional sebelum dirujuk ke hospital.

Kisah Mohamad Thaqif Amin yang dimasukkan ke HSI Rabu lepas, menjadi tular di media sosial selepas mengalami kesakitan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden.

Kedua-dua kakinya itu kemudian terpaksa dipotong bagi mengelak jangkitan kuman merebak.

Semalam, pembantu warden tersebut direman empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.- Bernama

The post Pelajar tahfiz dipercayai dipukul, kini alami darah beku pada lengan kiri appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?