Pembelian hartanah Mara: Shafie Apdal sedia beri kerjasama
BANGI, 23 Rejab 1438H, Khamis – Datuk Seri Shafie Apdal sedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes pembelian hartanah oleh MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) di Australia.
Shafie berkata, beliau terpanggil untuk memberi respon berhubung beberapa kenyataan yang tular di media massa dan sosial, mengaitkan namanya sebagai bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan kes itu.
“Saya terpanggil untuk memberi respon terhadap beberapa kenyataan yang sedang tular di media massa dan media sosial baru-baru ini yang mengaitkan nama saya.
“…… di mana pada ketika itu saya memegang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan kes yang melibatkan MARA iaitu agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau bagaimanapun mengharapkan supaya agensi penguatkuasaan itu dapat memaklumkan lebih awal sekiranya memerlukan sebarang kerjasama berhubung siasatan untuk penyelarasan jadualnya.
Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki, memaklumkan siasatan MARA Inc dijangka mengambil masa sehingga hujung tahun ini susulan maklumat baharu diterima pihaknya.
Setakat ini dilaporkan 24 saksi telah dipanggil dan pihaknya sudah menjalankan siasatan di lebih tujuh lokasi, termasuk pejabat peguam, penilai dan pejabat MARA serta yang berkaitan dengannya, selain merampas banyak dokumen.
Ia berhubung tuduhan ke atas syarikat pelaburan MARA apabila didakwa membayar harga yang lebih tinggi daripada pasaran ketika membeli sebuah blok pangsapuri lima tingkat, Dudley International House, di Melbourne.
Akhbar mendakwa sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya’ ketika itu terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi pembelian blok pangsapuri yang dibuat pada 2013.
The post Pembelian hartanah Mara: Shafie Apdal sedia beri kerjasama appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan