Percakaran umat Islam hanya untungkan puak liberal
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 2 Syaaban 1438H, Sabtu – Ketidaksatuan ummah jika tidak dicari penyelesaian hanya akan menguntungkan golongan liberal, kata Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni.
Sedangkan, beliau berkata, banyak faktor yang boleh menyatukan umat Islam serantau, termasuk kesatuan aliran Ahlussunnah Wal Jamaah, satu rumpun bangsa, satu bahasa, satu lokasi kejiranan serantau dan satu budaya.
“Malangnya faktor-faktor penyatu itu boleh dihancurkan oleh perbezaan aliran dalam masalah furu’ akidah dan fiqh. Aliran-aliran yang berbeza itu amat sukar untuk diharmonikan.
“Sebabnya, ia seolah-olah seperti ada tangan-tangan belakang yang dengan sengaja menyuburkan percakaran tersebut,” katanya ditemui selepas muzakarah ‘Fiqh Penyatuan Ummah anjuran Majlis Ulama Isma (Muis).
Muzakarah hari ini menghimpunkan kira-kira 30 ulama dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.
Ustaz Fauzi berkata, apa yang membimbangkan ialah apabila percakaran berlaku, pihak yang paling beruntung adalah golongan liberal.
“Mereka dengan mudah akan mengambil kesempatan daripada situasi ini untuk mengukuhkan pemikiran mereka. Bahkan mereka pasti akan meruntuhkan kepercayaan umat Islam kepada badan-badan agama milik kerajaan atau NGO,” katanya.
Sehubungan itu, Ustaz Fauzi berkata, beliau sangat berharap muzakarah yang dianjurkan ini dapat diteruskan secara lebih serius pada masa akan datang.
“Semoga ia lebih tersusun ke arah mencari formula terbaik bagi mengharmonikan kepelbagaian aliran ini untuk membawa ke kesatuan umat,” katanya.
The post Percakaran umat Islam hanya untungkan puak liberal appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan