Perlukah menjadi terlalu responsif terhadap semua isu di media sosial ? – Pengerusi Isma Australia
Fitnah dan penipuan tidak terhad hanya kepada percakapan. Dengan medium sosial yang tiada sempadan, fitnah juga banyak berbentuk penulisan, catatan ringkas, komen-komen, video, infografik dan pelbagai lagi.
Jadi untuk terlalu responsif terhadap semua isu yang diterima di media sosial adalah sangat tidak wajar.
Ada pepatah mengatakan,
“The less time we have to make our judgments, the more likely we are to go with our gut, even over fact.”
(Lebih singkat masa kita untuk membuat penilaian, lebih besar kemungkinannya untuk bertindak mengikut emosi walaupun sudah jelas faktanya)
Jika sudah terbiasa dengan sikap terlalu responsif sebegini, apabila berhadapan dengan berita yang pertama yang dibaca, mampu berakhir dengan indirect framing effect (menganiaya secara tidak langsung). Berita pertama yang diterima yang kita rasakan benar itu secara tidak sedar akan meletakkan penghadang untuk menerima fakta atau pandangan lain meskipun ia lebih benar. Maka ia akan mewujudkan personaliti negatif yang tidak sihat dalam diri tanpa sedar.
Firman Allah S.W.T
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al Hujurat: 6)
Ayat 6 Surah Al-Hujurat mengajar kita agar berhati-hati dalam menerima berita dari orang-orang fasik. Sebab turunnya ayat ini ialah bersempena kisah seorang muslim yang bernama al Walid bin Uqbah bin Abi Mu’id yang diutuskan oleh Nabi Muhammad salallahu alaihi wasallam untuk memungut harta sedekah dari Bani Mustaliq.
Kemudian apabila beliau ke Kampung Bani Mustaliq, tiba-tiba beliau melihat penduduk kampung ramai-ramai keluar untuk menunaikan sedekah. Al Walid menyangkakan mereka sudah murtad lalu lari ke Madinah menghadap Baginda Nabi sallalahu alaihi wasallam, menceritakan apa yang berlaku. Setelah mendengar berita itu, baginda mengarahkan kerahan bala tentera untuk menyerang kampung Bani Mustaliq.
Baginda melantik Khalid al Walid sebagai pemimpin bala tentera. Khalid Al Walid bertindak menghantar perisik ke kampung tersebut untuk menyiasat apa yang berlaku. Sampai di sana, mereka terdengar suara azan dan melihat orang kampung menunaikan solat. Ternyata mereka tidak murtad sebagaimana didakwa oleh Walid bin Uqbah. Lalu Khalid al Walid dan bala tentera Islam kembali ke Madinah bertemu Rasulullah.
Kemudian Allah menurunkan ayat ini sebagai teguran dan panduan buat orang beriman dalam menerima khabar berita dari orang fasik.
Semoga ayat ini juga menjadi neraca utama kepada kita dalam membuat penilaian terhadap semua isu yang disuapkan dalam media sosial kita hari ini.
Anuar Azemi
Pengerusi ISMA Australia 16/17
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan