PPMM desak ambil tindakan terhadap Rafizi
BANGI, 21 Rejab 1438H, Selasa – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mendesak tindakan tegas dikenakan terhadap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menurut Akta Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 berikutan dakwaan rasuah terhadap hakim Syarie di Malaysia.
Dalam satu kenyataan, hari ini, Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pihaknya berasa sangat kesal dengan kenyataan Rafizi Ramli yang tidak berasas dan tiada statistik yang dikeluarkan bagi menyokong dakwaan beliau.
Malah, beliau berkata, kenyataan Rafizi yang juga Naib Presiden PKR itu juga telah menimbulkan fitnah, keraguan dan memperkecil malah menghina Mahkamah Syariah di Malaysia.
Terdahulu, Rafizi Ramli dilaporkan membuat dakwaan antara lain bahawa jika Akta 355 dipinda ramai hakim mahkamah syariah akan menerima rasuah dan hakim mahkamah syariah lebih ramai ditangkap dan ditahan kerana rasuah berbanding hakim mahkamah sivil.
“PPMM mendesak agar Penguatkuasa Agama mengambil tindakan menurut Akta Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan dimajukan kepada Ketua Pendakwa Syarie agar suatu tindakan di bawah seksyen 210 akta yang sama Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah untuk diambil terhadap Rafizi.
“Begitu juga bagi semua negeri-negeri lain yang mana dakwaan Rafizi ini terpalit kepada semua mahkamah syariah negeri-negeri.
“Rafizi mesti bertanggungjawab terhadap apa yang diucapkannya semasa sidang Parlimen olok-olok tersebut. Walaupun ia sidang olok-olok tetapi kenyataan yang dibuat tidak wajar bersifat olok-olok juga kerana ia sangat memberi kesan kepada kedudukan mahkamah syariah di mata awam,” tegasnya.
Pada masa sama, Zainul turut menasihatkan agar isu-isu agama tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak apatah lagi dipermainkan.
“Umat Islam arus perdana sudah jelak dengan sikap pihak-pihak tertentu yang tidak sudah-sudah mahu mempolitikkan kepentingan masing-masing walaupun di dalam isu agama.
“Orang Islam hendaklah bersatu suara di dalam isu-isu agama Islam dan tidak dihambat oleh kepentingan politik semata-mata,” katanya.
The post PPMM desak ambil tindakan terhadap Rafizi appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan