Produk kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM8.5 juta dirampas sejak 2015
PUTRAJAYA, 16 Rejab 1438H, Khamis – Sebanyak 14,200 produk kosmetik yang tidak bernotifikasi bernilai RM8.5 juta dirampas dari 2015 hingga Februari tahun ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.
“Semua produk kosmetik perlu dinotifikasi kepada kementerian sebelum produk tersebut boleh dikilang, diimport, dibekal atau dijual di pasaran Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, sistem notifikasi kosmetik di Malaysia diamalkan selaras dengan Sistem Harmonisasi Regulatori Kosmetik yang dilaksanakan di semua negara ASEAN dan negara Kesatuan Eropah.
Dr Subramaniam dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam berkata sehingga Februari, sebanyak 153,700 produk kosmetik telah bernotifikasi dengan kementerian.
Beliau juga berkata, sejumlah 47 produk kosmetik dibatalkan atas isu campur palsu dengan bahan terlarang seperti hydroquinone, tretinoin dan merkuri dari tahun 2013 hingga April ini.
Tindakan punitif seperti pembatalan notifikasi dan arahan panggil balik produk daripada pasaran akan dikenakan ke atas produk yang tidak mematuhi keperluan regulatori yang tetapkan, katanya.
“Aktiviti persampelan produk kosmetik di pasaran adalah berdasarkan ‘risk based approach’ contohnya produk kosmetik yang berisiko tinggi seperti produk pemutih kulit atau pencerah kulit, produk untuk bayi dan aduan daripada pengguna,” katanya.
Dr Subramaniam berkata, kementerian giat menjalankan pemeriksaan ke atas premis menjual dan mengendalikan produk kosmetik sama ada secara terbuka atau dalam talian.
Katanya, sebanyak 20 kes telah didakwa di mahkamah manakala 300 kes jualan secara dalam talian diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan.
Menurutnya, Bahagian Penguat kuasa Farmasi telah merampas pelbagai jenis produk farmaseutikal dalam bentuk injeksi yang tidak berdaftar bernilai RM779,663 dalam Ops Kosmetik semalam.
Operasi itu meliputi pemeriksaan ke atas 66 buah salun kecantikan, spa, klinik estetik, klinik perubatan, pengedar/pemborong, kiosk kosmetik dan rumah kediaman di seluruh negara, katanya.
Antara produk farmaseutikal dalam bentuk injeksi yang dirampas ialah suntikan botox, vitamin C, glutathione, placenta dan kosmetik tidak bernotifikasi.
Dr Subramaniam sekali lagi memberi amaran kepada pusat atau salon kecantikan supaya tidak menyediakan perkhidmatan suntikan Botox kerana produk itu di luar bidang kawalan mereka serta berdepan dengan tindakan penutupan serta-merta sekiranya masih berdegil.
“Kita sangat tegas dalam soal ini kerana tidak mahu orang ramai terus menjadi mangsa dan terpedaya dengan iklan dan testimoni yang melampau seperti memberikan kesan yang pantas atau dalam jangka masa singkat,” katanya. – Bernama
The post Produk kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM8.5 juta dirampas sejak 2015 appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan