Sebut nama Nasharudin, tetapi kenapa kait PAS?
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 17 Rejab 1438H, Jumaat – Naib Presiden PAS, Idris Ahmad mempersoalkan agenda Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang mengaitkan nama parti itu dengan dakwaannya berhubung sumbangan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya, Rafizi boleh merujuk semula kenyataan PAS dalam akhbarnya, Harakah berhubung pendirian parti itu mengenai isu ketirisan dana 1MDB dan wang sumbangan RM2.6 bilion yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Nama Ustaz Nasharudin Mat Isa yang disebut di dalam kenyataan media pada petang semalam. Kenapa hendak dikaitkan dengan PAS pula?
“Kenapa hendak dikaitkan dengan 1MDB dengan PAS. Kononnya PAS lunak dengan DS Najib kerana mendapat habuan daripada 1MDB. Ini satu tuduhan yang liar dan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Idris berkata, Naib Presiden PKR itu juga dilihat tidak fokus menuduh PAS dalam isu berkenaan apabila sentiasa sentiasa berubah-ubah dakwaan terhadap parti itu mengenai isu tersebut.
“Plotnya yang pertama PAS mendapat wang, kedua, orang yang rapat dengan PAS, ketiga bekas pemimpin PAS yang terlibat.
“Saya mengharapkan Yb Rafizi jangan hilang fokus,” sindirnya.
Idris akui hairan kenapa Rafizi mahu mengaitkan PAS dengan Nasharudin sedangkan katanya, sejak tewas dalam pemilihan Timbalan Presiden PAS 2011, beliau terus meninggalkan parti itu dan membawa diri.
“PAS tidak suka untuk fitnah kepada parti dan pimpinan parti lain, jika ada di kalangan ahlinya atau pimpinannya yang terlibat dengan kes rasuah dan disiasat oleh SPRM.
“Jika sabit kesalahan maka individu tersebut yang bertanggungjawab. Melainkan terbukti jenayah itu merupakan keputusan parti, maka barulah boleh sabitkan dengan parti,” katanya.
Kesal terhadap tuduhan itu, Idris berkata, PAS terus dituduh bermula dengan laporan Sarawak Report, kemudian bekas Naib Presidennya, Datuk Husam Musa dan Rafizi.
“Matlamat mereka ialah hendak membentuk persepsi buruk terhadap PAS. Inilah satu cara untuk memusnahkan PAS. Apa dosa PAS sehingga sanggup mereka berbuat demikian.
“PAS masih lagi parti pembangkang. Kenapa pula PAS yang diserang. Mana ada di dalam dunia demokrasi, pembangkang serang pembangkang, melainkan Pakatan pembangkang di Malaysia,” katanya.
The post Sebut nama Nasharudin, tetapi kenapa kait PAS? appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan