Sekolah agama persendirian, madrasah tahfiz akan didaftar bawah Jakim
KUALA LUMPUR, 30 Rejab 1438H, Khamis – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid memaklumkan, sekolah aliran agama persendirian termasuk madrasah tahfiz akan didaftar di bawah Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dalam masa terdekat.
Beliau berkata, tindakan itu akan dilaksana selepas Jakim selesai memuktamadkan beberapa perkara termasuk terma pendaftaran bagi sekoloah-sekolah tersebut.
“Seperti yang disebut perdana menteri bahawa pusat tahfiz juga kita akan daftarkan di bawah satu pendaftaran secara penuh yang dikendalikan di bawah Jakim.
“Kalau ini berlaku, maknanya semua sekolah persendirian aliran agama akan didaftarkan dan mudah untuk diurus apa-apa prosedur yang hendak dikenakan kepada sekolah ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Sementara itu mengulas mengenai cadangan agar satu garis panduan pelaksanaan hukuman rotan di sekolah tahfiz diadakan, Mahdzir berkata, sekolah persendirian termasuk madrasah tahfiz perlu mengikut panduan gerak kerja prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Sekolah agama persendirian, madrasah tahfiz di bawah mana-mana tanggungjawab sekalipun mestilah berpandu kepada SOP KPM sama ada berkaitan disipilin, kebajikan, tanggungjawab guru dan pelajar.
“Begitu juga merotan, kena ikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.
The post Sekolah agama persendirian, madrasah tahfiz akan didaftar bawah Jakim appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan