SPRM panggil Shafie Apdal jika perlu
ISKANDAR PUTERI, 22 Rejab 1438H, Khamis – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkemungkinan memanggil Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes pembelian hartanah oleh MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) di Australia.
Bercakap perkara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya akan memanggil bekas menteri itu jika mereka memerlukan maklumat daripadanya.
“Kita melihat dari segi keperluan siasatan yang kita jalankan. Jika ada keperluan, kita panggil sesiapa sahaja, tidak semestinya beliau (Mohd Shafie).
“Sesiapa sahaja yang boleh beri keterangan atau terbabit dalam siasatan yang dijalankan, kita akan panggil untuk beri keterangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Mohd Shafie akan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung siasatan MARA Inc.
Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki, memaklumkan siasatan MARA Inc dijangka mengambil masa sehingga hujung tahun ini susulan maklumat baharu diterima pihaknya.
Setakat ini dilaporkan 24 saksi telah dipanggil dan pihaknya sudah menjalankan siasatan di lebih tujuh lokasi, termasuk pejabat peguam, penilai dan pejabat MARA serta yang berkaitan dengannya, selain merampas banyak dokumen.
Ia berhubung tuduhan ke atas syarikat pelaburan MARA apabila didakwa membayar harga yang lebih tinggi daripada pasaran ketika membeli sebuah blok pangsapuri lima tingkat, Dudley International House, di Melbourne.
Akhbar mendakwa sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya’ ketika itu terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi pembelian blok pangsapuri yang dibuat pada 2013.
The post SPRM panggil Shafie Apdal jika perlu appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan