Tabung KWAP: Kerajaan tak ada wang bayar pencen?
BANGI, 19 Rejab 1438H, Ahad – Kakitangan kerajaan dan pesara sektor awam sewajarnya mula memberi perhatian mengenai Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang digunakan untuk membayar pencen mereka, kata wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin.
Ini kerana, katanya, sejak kebelakangan ini tercetus kontroversi pinjaman KWAP sebanyak RM5 bilion kepada SRC International Sdn Bhd – anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) – yang dilanda skandal.
“Ada kemungkinan kerajaan sudah mula mendapati sukar untuk memperoleh pulangan yang cukup daripada pelaburan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) untuk membayar pencen kakitangan awam.
“Jadi adalah wajar bagi kakitangan dan pesara sektor awam mengambil berat mengenai apa yang berlaku kepada KWAP yang berupa sumber saraan hidup mereka selepas tamat perkhidmatan hingga ke hujung usia,” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini, sebagai mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengenai kemungkinan Malaysia mengalami krisis pencen.
Bercakap dalam dialog Transformasi Nasional (TN50) di Putrajaya sebelum ini, Khairy berkata, Malaysia mungkin mengalami krisis pencen menjelang tahun 2050 akibat bilangan pesara yang lebih ramai dan jangka hayat yang lebih panjang, sehingga kerajaan terpaksa membelanjakan lebih banyak duit ke atas mereka.
Sebagaimana diketahui ramai, KWAP sebelum ini membeli 4.98 peratus pegangan saham dalam anak syarikat Felda – Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yang kini berdepan kejatuhan nilai saham sehingga berdepan kemungkinan dijadikan syarikat persendirian dan dinyahsenarai daripada kaunter Bursa Malaysia.
KWAP juga dilaporkan pernah memberi pinjaman sehingga RM5 bilion kepada SRC International.
Selain itu, KWAP juga dilaporkan membeli sebidang tanah daripada 1MDB untuk dibangunkan sebuah bangunan yang bakal dijadikan ibu pejabat barunya di Tun Razak Exchange (TRX), dengan RM2,300 bagi sekaki persegi.
Kadir yang juga bekas Ketua Pengarang New Straits Times berkata, jika didalami dan difahami apa yang sedang berlaku sekarang, kita bukan sahaja gerun memikirkan apa yang akan berlaku pada masa akan datang, malah kita sepatutnya sudah mula berasa bimbang dengan apa yang sedang berlaku.
“Misalnya, bilangan kakitangan kerajaan terlalu ramai, semakin banyak hasil kerajaan terpaksa dibelanjakan untuk bayar gaji dan pencen, kadar pengangguran semakin meningkat, kos sara hidup semakin tinggi, hutang isi rumah melambung dan simpanan semakin menguncup.
“Dalam kaitan dengan bilangan kakitangan awam yang terlalu ramai inilah timbul cadangan menaikkan sekali lagi umur pencen iaitu daripada 60 kepada 62 tahun.
“Ini tidak lebih daripada penyelesaian sementara dengan melengahkan dua tahun pembayaran pencen. Tetapi langkah ini jika dilaksanakan akan memburukkan lagi kadar pengangguran yang sudah pun melepasi 500,000 orang,” katanya.
The post Tabung KWAP: Kerajaan tak ada wang bayar pencen? appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan