UIAM naib juara pertandingan debat Bahasa Arab di Qatar
DOHA, 16 Rejab 1438H, Khamis – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) membawa kegembiraan kepada negara apabila muncul naib juara pada Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti Antarabangsa 2017 ke-4 untuk kategori terbuka yang berlangsung di Doha, Qatar.
Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan UIAM hari ini, pasukan debat daripada Universiti Qatar dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan UIAM pada pusingan akhir.
Universiti Qatar dan UIAM berentap dalam kategori penutur jati bahasa Arab.
Buat julung kalinya, pasukan UIAM ini diwakili oleh empat anak Melayu yang bukan penutur asal bahasa Arab berjaya melangkah ke peringkat akhir.
Pendebat berkenaan terdiri daripada Abd Rahim Elias, Mohamad Ikmal Hakimi Mohamad Helmi, Muhammad Nazri Rostam dan Muhammad Nurfirman Mohamed.
Manakala Muhammad Nurfirman Mohamed tersenarai sebagai pendebat ketiga terbaik bagi kategori bukan penutur bahasa Arab.
Keempat-empat mereka yang tidak pernah mengikuti kursus Bahasa Arab di mana-mana negara Arab sebelum ini mengejutkan banyak nama besar dalam arena debat bahasa Arab seperti Universiti Khartoum (Sudan), Universiti Sultan Qaboos (Oman) dan Universiti Birzeit (Palestin) sebelum melangkah ke peringkat akhir.
Pertandingan ini adalah debat Bahasa Arab yang paling berprestij dengan penyertaan dari negara seperti Palestin, Oman, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ianya paling besar di dunia dengan penyertaan lebih dari 80 universiti dari 46 negara.
Pertandingan yang bertaraf dunia ini diadakan dua tahun sekali bertujuan mengumpulkan pendebat muda berbahasa Arab dan bukan berbahasa Arab dari Eropah, Amerika Utara, Afrika, Asia Barat dan Asia Tengah.
The post UIAM naib juara pertandingan debat Bahasa Arab di Qatar appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan