Zakir Naik bertaraf penduduk tetap: TPM

PUTRAJAYA, 21 Rejab 1438H, Selasa – Pendakwah antarabangsa dari India, Dr Zakir Naik, bertaraf penduduk tetap di Malaysia dan bukannya warganegara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, penceramah itu tidak menetap di Malaysia sebaliknya tinggal di beberapa negara lain.

“Beliau (Zakir) mendapat status penduduk tetap pada lima tahun lepas, beliau bukan warganegara Malaysia,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada Zakir adalah warganegara Malaysia.

Beliau ditemui selepas merasmikan Persidangan Ekologi Manusia Antarabangsa 2017 di sini hari ini.

Pada November tahun lepas (2016), Hindustan Times di India melaporkan bahawa Zakir telah diberi kerakyatan Malaysia namun perkara itu dinafikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Mengulas laporan mengenai Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) yang dilaporkan memutuskan untuk mendapatkan notis Interpol terhadap Zakir, Ahmad Zahid berkata Malaysia sedia memberi kerjasama penuh jika kerajaan India memohon Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA) dalam siasatan terhadap Zakir.

MLA boleh diperolehi jika negara itu ada hubungan dan perjanjian dengan negara kita, katanya.

Ditanya sama ada Malaysia akan menyerahkan Zakir kepada pihak India sekiranya pendakwah itu berada di Malaysia , Ahmad Zahid berkata, “ia bukan soal serah menyerah tetapi mengenai siasatan”.

“Kita ikut sistem undang-undang negara kita dan ikut kerangka diplomatik yang ada, kalau ada permohonan bagi MLA, kita akan beri kerjasama penuh,” katanya

Baru baru ini, Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) memutuskan untuk mendapatkan notis Interpol terhadap Zakir bagi menghalang pergerakannya keluar dari Arab Saudi selepas beliau ingkar saman berulang kali terhadapnya agar satu siasatan dibuat terhadapnya.

Zakir didakwa menghasut golongan muda Islam untuk terbabit dalam keganasan dan menganjurkan permusuhan antara masyarakat berasaskan agama dan kaum.

Bagaimanapun, Zakir dalam satu persidangan di Kuala Lumpur pada Ahad lepas, dilaporkan berkata meminta kerajaan India mencarinya di Malaysia.

Pendakwah itu didakwa melarikan diri ke Arab Saudi selepas siasatan dimulakan terhadapnya dan badan bukan kerajaan naungannya, Islamic Research Foundation, berhubung dakwaan propaganda keganasan.- Bernama

The post Zakir Naik bertaraf penduduk tetap: TPM appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian