Zionis rancang bina 15,000 unit rumah baharu di Jerusalem Timur
JERUSALEM, 1 Syaaban 1438H, Jumaat – Rejim Zionis merancang membina 15,000 unit rumah baharu bagi penempatan Yahudi di Jerusalem Timur, kata Kementerian Perumahan Israel – usaha yang dilihat boleh menjejaskan usaha damai baharu Palestin-Israel.
Pengumuman rasmi rancangan itu, dengan pantas dikecam oleh Ketua Perunding Palestin.
Israel mahukan Jerusalem untuk dijadikan ibu negaranya, manakala Palestin juga mahu berbuat demikian. Dunia melihat status Jerusalem perlu diputuskan dalam perbincangan. Rundingan damai Palestin-Israel pada 2014 bagaimanapun, gagal.
Menteri Perumahan rejim Zionis, Yoav Galant memberitahu radio Israel bahawa kementeriannya dan majlis perbandaran Jerusalem sedang menyiapkan pelan dua tahun bagi membina 25,000 unit rumah, termasuk 15,000 di Jerusalem Timur yang diduduki pada 1967.
“Kami akan membina 10,000 unit di Jerusalem dan 15,000 unit lagi di kawasan sempadan majlis perbandaran Jerusalem yang diperluaskan,” katanya.
Ketua Perunding Palestin, Saeb Erekat berkata, tindakan rejim Zionis itu secara sistematik melanggar undang-undang antarabangsa dan sabotaj usaha proses rundingan damai.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, semua kawasan perumahan yang dibina di atas tanah Palestin yang diduduki adalah haram di sini undang-undang antarabangsa.
“Palestin akan terus mengambil jalan antarabangsa bagi menghalang Israel,” katanya.
Palestin mahukan Jerusalem Timur sebagai ibu negara yang diharapkan akan menjadi kenyataan. – Agensi
The post Zionis rancang bina 15,000 unit rumah baharu di Jerusalem Timur appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan