Arul mesti dedahkan semua sebelum dikambinghitamkan: PAS

BANGI, 12 Syaaban 1438H, Selasa – PAS hari ini mengulangi gesaan menyeru Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden 1MDB, Arul Kandasamy mendedahkan segala peranannya dalam kemelut yang berlaku, sebelum ‘dikambinghitamkan’ pihak tertentu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebelum ini, PAS pernah menggesa Arul untuk mendedahkan segalanya sebelum beliau berundur.

Ini kerana, Arul pernah memberitahu bahawa kemungkinan ada penipuan melibatkan orang dalam dalam isu kemelut 1MDB dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investment PJS (Aabar BVI).

“Umum mengetahui, Arul pernah menyatakan kerja beliau di 1MDB telah selesai. Bukan itu sahaja, Arul pernah menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan berkali-kali.

“Setelah “penyelesaian” IPIC-1MDB, apa yang tertinggal ialah duit pelaburan untuk Bandar Malaysia bagi melengkapkan pelan rasionalisasi hutang 1MDB.

“Malangnya perkara itu terbantut apabila terbatalnya perjanjian jualan saham (SSA) Bandar Malaysia seperti diumumkan TRX City Sdn Bhd pada 3 Mei.

“Pada waktu yang sama, IWH-CREC bagaimanapun menafikan dakwaan mereka gagal membuat pembayaran, sekalipun sudah diberikan penangguhan sebanyak 12 kali,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Arul pernah tampil berjanji akan membuat satu pengumuman penting mengenai 1MDB pada 5 Mei yang lalu.

“Malangnya, belum sempat beliau berbuat demikian, timbul pula ura-ura bahawa Arul telah disingkir daripada daripada lembaga pengarah syarikat Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange kerana “konflik kepentingan”.

“Persoalannya, apakah yang bakal diumum oleh Arul? Apakah pengumuman Arul ini tidak direstui oleh Perdana Menteri?

“Apakah Arul cuba menyelesaikan masalah IWH-CREC di belakang takbir dengan cara tersendiri sehingga timbul konflik kepentingan?

“Apakah konflik kepentingan itu berkaitan dengan keinginan Arul untuk “menyelesaikan” kekotoran 1MDB untuk membolehkan beliau memenuhi hajatnya untuk mengundurkan diri secepat mungkin?,” soal Tuan Ibrahim.

Semalam, penyingkiran Arul Kanda dilaporkan dibuat selepas TRX City Sdn Bhd, syarikat di bawah Kementerian Kewangan, mengumumkan perjanjian jualan saham (SSA) Bandar Malaysia dengan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corperation (M) Sdn Bhd (CREC), dibatalkan.

Perjanjian itu membabitkan 60 peratus modal terbitan dan berbayar Bandar Malaysia Sdn Bhd, bernilai RM7.41 bilion. Keseluruhan pembangunan Bandar Malaysia membabitkan kos kira-kira RM200 bilion.

Arul bagaimanapun berkata, tidak dimaklumkan mengenai keputusan mengeluarkan beliau daripada lembaga pengarah Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange (TRX).

Namun, beliau bersedia menerima keputusan itu memandangkan pelantikannya atas kapasiti 1MDB sebagai pemegang saham kedua-dua syarikat, itu.

Sebelum itu, beberapa laporan memetik sumber mengatakan keputusan mengeluarkan Arul kerana mungkin ada “konflik kepentingan” kesan daripada kegagalan perjanjian Bandar Malaysia dengan IWH-CREC, usaha sama Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Corp (CREC).

Perjanjian itu diumumkan batal minggu lalu atas dakwaan IWH-CREC gagal membuat pembayaran untuk pemilikan saham dalam Bandar Malaysia.

Bagaimanapun, kemelut timbul selepas konsortium itu mempertikaikan tuduhan itu dan mendakwa pembayaran sudah dibuat.

The post Arul mesti dedahkan semua sebelum dikambinghitamkan: PAS appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian