Bashar Al Assad sanggup bunuh rakyat demi kekalkan kuasa

Abdul Hamid Alyousef mendukung bayi kembarnya yang maut akibat serangan senjata kimia oleh rejim Bashar Al Assad di Khan Sheikhun di wilayah utara Idlib, Syria, baru-baru ini. – Agensi

JEDDAH, 5 Syaaban 1438H, Selasa – Bukti baru yang menunjukkan rejim Syria menggunakan agen saraf dalam empat serangan senjata kimia sejak Disember tahun lalu, termasuk satu serangan di sebuah bandar dikuasai pembangkang pada 4 April lalu mengorbankan hampir 100 orang, didedahkan kumpulan hak asasi manusia, hari ini.

Kumpulan pemantau hak asasi manusia dalam satu laporan menyatakan bahawa serangan ‘penggunaan senjata kimia secara lebih meluas oleh rejim Syria’, boleh dikategorikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

Kumpulan itu menyatakan dalam serangan di Khan Sheikhun di Idlib, April lalu, dan tiga serangan lain, rejim Syria disyaki menggunakan agen saraf.

Saksi menyatakan mereka mengalami simptom yang sejajar dengan pendedahan kepada agen saraf, selepas serangan di utara Hama pada 30 Mac lalu dan di timur Hama pada 11 dan 12 Disember tahun lalu.

Kumpulan itu juga berkata, dalam serangan di Khun Sheikhun, 92 orang awam, termasuk 30 kanak-kanak dikenal pasti oleh penduduk dan aktivis sebagai mangsa yang terdedah kepada agen kimia, maut, manakala laporan perubatan mengesahkan ratusan yang lain cedera.

Dalam beberapa siri serangan, kumpulan hak asasi itu berkata, tujuan serangan itu adalah untuk menyebabkan ‘penderitaan teruk’ kepada orang awam.

“Corak yang jelas dilihat ialah penggunaan secara meluas agen saraf sehingga menyebabkan banyak kematian.

“Dalam tempoh enam bulan, rejim Syria menggunakan pesawat, helikopter dan serangan darat untuk melepaskan klorin dan gas sarin di Damascus, Hama, Idlib dan Aleppo.

“Ia dilakukan dengan sistematik dan meluas,” kata Pengarah Eksekutif Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Kenneth Roth.

Penganalisis Syria-Amerika yang jufa felo Program Keselamatan Antarabangsa Yayasan New America, Oubai Shahbandar berkata, bukti yang tidak dapat disangsikan lagi menunjukkan Bashar Al Assad bersekongkol dalam mengarahkan serangan gas sarin terhadap orang awam.

“Masih ada kempen palsu berterusan di media sosial yang cuba untuk menyebarkan berita palsu dan bagi membebaskan rejim Syria daripada jenayah perang ini.

“Persoalannya ialah bagaimana komuniti antarabangsa mahu menghalang rejim Assad daripada menggunakan lagi simpanan senjata kimianya,” katanya.

Penganalisis politik berpangkalan di Riyadh, Hamdan Al-Shehri berkata, pengesan oleh kumpulan pemantau hak asasi manusia itu adalah bukti kukuh kekejaman Bashar Al Assad terhadap rakyatnya.

“Dia (Assad) tidak mempunyai sebarang masalah untuk membunuh rakyatnya sendiri dengan senjata pemusnah besar-besaran.

“Assad mahu mengekalkan kuasanya selama-lamanya. Itu tujuan sebenarnya. Dia tidak peduli berapa ramai rakyat Syria yang harus mati demi mengekalkan kuasanya,” kataya.

Hamdan berkata, masalah utamanya ialah Russia.

“Presiden Russia, Vladimir Putin harus menerima bukti yang didedahkan itu, dan berhenti daripada menyokong rejim Assad. Tapi saya tidak menjangkakan Russia akan berubah,” katanya. – Agensi

The post Bashar Al Assad sanggup bunuh rakyat demi kekalkan kuasa appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?