Borak artis- Ini sahajakah idealisme mahasiswa?
Saya tidak berminat untuk mengulas soal hubungan percintaan mereka.
Tetapi saya tergerak untuk menegur usaha mana-mana badan yang berhasrat untuk menganjurkan sesi ‘borak-borak’ atau sembang santai dengan menjemput kedua-dua selebriti ini (ataupun yang seumpama dengannya).
Sejak semalam tular sebuah poster program sesi santai bersama dua selebriti. Dalam poster tersebut dinyatakan bahawa penganjur ingin merekrut AJK program. Ada yang menyokong, tak kurang juga yang menolak.
Pada padangan saya, impak yang dimahukan dari penganjuran program adalah sesuatu yang tidak jelas.
Umum mengetahui bahawa fenomena LoFattah ini hanya sekadar sekitar drama bersiri ‘Suri Hati Mr. Pilot’, dan juga sekitar percintaan antara kedua-dua selebriti tersebut. Dan sekitar ini juga populariti selebriti ini semakin meningkat dan mendapat perhatian netizen, termasuklah golongan mahasiswa.
Sekiranya ini adalah sebab utama mereka ingin dijemput ke UNIMAS saya fikir ia adalah sesuatu pelaburan wang, tenaga dan masa yang tidak berbaloi. Mahasiswa tidak mendapat faedah yang signifikan dari sudut pemikiran dan intelektual diri mereka. Begitu juga univerisiti tidak mendapat apa-apa kesan signifikan dari penganjuran program sebegini.
Saya mengajak semua badan atau persatuan mahasiswa dalam UNIMAS untuk sama-sama kita menilai semula sejauh mana aktivisme yang kita lakukan menjurus ke arah pembinaan pemikiran mahasiswa yang matang, dan sejauh mana aktivisme kita meningkatkan kebolehupayaan universiti kita.
Kita percaya bahawa mahasiswa adalah pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan. Dan sekiranya kita betul-betul menginsafi hakikat ini, kita akan sedar yang peranan kita sebagai badan/persatuan mahasiswa adalah cukup besar dan menentukan rupa bentuk kepimpinan negara kita pada pasa akan datang.
Sekiranya kita faham akan perkara ini, nescaya kita tidak akan bermain-bermain atau menghabiskan masa mahasiswa dengan aktiviti-aktiviti yang tidak mendatangkan faedah.
Dalam kelambakan hiburan-hiburan yang easily accessible atau terhidang dengan mudah di hadapan mahasiswa pada masa kini, perlu ada golongan atau badan yang menjalankan program yang mendidik pemikiran dan intelektual mahasiswa, serta program-program yang membentuk sahsiah dan peribadi.
Teguran ini umum kepada semua pihak dan tiada niat mencari perbalahan antara individu dan persatuan.
Nizzal Syafiq Bostaman
Pelajar Sarjana, Bioteknologi Sumber, UNIMAS
Ulasan
Catat Ulasan