Dua rakyat Malaysia disahkan maut pertempuran di Filipina

ALOR GAJAH, 29 Syaaban 1438H, Jumaat – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan dua lelaki Malaysia terbunuh dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Filipina dan kumpulan militan di Marawi, Mindanao, Selasa lalu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pada masa ini, pihaknya sedang meneliti pengenalan diri kedua-dua lelaki itu sebelum Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kenyataan terperinci.

“Saya telah berbincang dengan Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) dan kita sedang meneliti butiran penuh walaupun kita telah kenal pasti identiti dan dari mana mereka berasal.

“Maklumat risikan itu, Bukit Aman yang akan keluarkan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Masjid Salmah Khamis di Kampung Durian Daun di Masjid Tanah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar tempatan berbahasa Inggeris mengenai dua rakyat Malaysia dipercayai antara 13 militan yang terbunuh dalam pertempuran itu.

Pertempuran itu berlaku apabila pasukan keselamatan Filipina menyerbu Marawi untuk memburu pemimpin Kumpulan Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, serta kumpulan Maute, yang mempunyai kaitan dengan IS atau Daesh.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia berterima kasih kepada pihak berkuasa Filipina atas kerjasama dan perkongsian maklumat berkaitan isu keselamatan Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Pada masa sama, katanya, pihak berkuasa Malaysia turut memantau aspek keselamatan negara melalui Pusat Serantau Digital Bagi Memintas Mesej Melalui Komunikasi yang dikendalikan Unit Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman.

“Bukan sahaja daripada Filipina, tetapi apa sahaja yang berlaku di Indonesia, kita juga berkongsi maklumat itu dan tindakan dilakukan berdasarkan maklumat berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata beliau telah mengarahkan PDRM, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSComm) dan Polis Sabah supaya sentiasa bersiap siaga dan memperketat kawalan keselamatan di perairan negara untuk memastikan keselamatan rakyat.

Langkah itu juga bagi memastikan negara tidak menjadi kawasan penyembunyian kumpulan yang terlibat dalam pertempuran di Marawi, kata beliau. – Bernama

The post Dua rakyat Malaysia disahkan maut pertempuran di Filipina appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian